Ahad, 27 September 2015 | 4:09pm

Mayat lelaki berulat ditemui dalam kebun kelapa sawit


MAYAT lelaki tanpa identiti ditemui dalam ladang kelapa sawit di Machang Bubok, mayat terbabit ditemui dengan sekurang-kurangnya tujuh kesan tikaman di badan. - Foto NSTP

BUKIT MERTAJAM: Mayat seorang lelaki dengan beberapa kesan tikaman ditemui dalam kebun kelapa sawit yang terletak di tepi jalan di Jalan Sungai Lembu, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, berkata mayat lelaki dipercayai berusia lingkungan 30-an itu ditemui oleh seorang lelaki yang melalui kawasan berkenaan kira-kira jam 8 malam sebelum memaklumkan kepada polis.

"Pemeriksaan awal mendapati mayat lelaki yang berulat itu mati lebih daripada tiga hari sebelum ditemui tanpa sebarang pengenalan diri dan hanya berseluar jeans, berbaju T dan tidak berkasut," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh ditempat lain sebelum mayatnya dibuang kerana polis tidak menemui sebarang senjata di lokasi kejadian dan juga tiada kesan pergelutan.

Katanya, mayat itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat namun pemeriksaan awal ke atas mayat belum dapat disahkan kesan sebenar luka di badannya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

- BERNAMA

31 dibaca
Berita Harian X