Ahad, 27 September 2015 | 12:13am
TERDAPAT lebih 42 bilion kilogram (kg) sisa barangan elektronik seperti mesin basuh, televisyen, telefon bimbit dan komputer direkodkan di seluruh dunia.

Berhati-hati dengan bateri lama

HAMPIR setiap isi rumah, pasti mempunyai bateri lama yang tidak dibuang dengan sempurna, malah ada yang masih menyimpan bateri yang tidak digunakan selama bertahun lamanya.

Tidak kiralah bateri jam, alat kawalan jauh ataupun bateri komputer serta telefon bimbit, tahukah anda, ia sebenarnya berbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan?

Setiap satunya mengandungi logam berat plumbum atau litium, malah ada yang mempunyai kedua-dua bahan ini.

Tanggapan ramai, bateri hanya peranti kecil yang tidak memberi sebarang impak kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. Hakikatnya, tanggapan itu salah kerana ia boleh memberi kesan yang amat buruk kepada manusia sehingga mengancam nyawa.

Plumbum bersifat karsinogenik iaitu bahan yang boleh menyebabkan kanser. Pendedahan pada plumbum boleh mengakibatkan kembung dan senak perut, sembelit, kurang selera makan, sakit kepala serta lesu, malah kanser dalam jangka panjang.

Itu baru plumbum, belum lagi disebut bahan lain yang terdapat dalam alatan elektronik yang sering kali dipandang ringan oleh masyarakat.


SISA elektronik yang perlu di titik beratkan.

Felo Kanan, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Ahmad Fariz Mohamed, berkata bukan saja bateri, malah permainan kanak-kanak seperti komputer untuk kanak-kanak berusia di antara dua tahun dan enam tahun juga mengandungi bahan berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan.

Papan litar (motherboard) komputer itu umpamanya mengandungi pelbagai jenis bahan kimia dan logam berat seperti plumbum dan litium.

Begitu juga dengan bahan plastik yang digunakan sebagai bahagian luaran komputer itu.

Katanya, bahan seperti Acrylonitrile butadiene styrene (ABS) dan polivinil klorida atau Polyvinyl Chloride (PVC) juga mempunyai impak negatif kepada kesihatan manusia dan alam sekitar terutama jika dibuang ke tapak pelupusan.

"Kesan buruk logam berat ini mungkin tak dapat dilihat serta-merta atau dalam jangka masa pendek berbanding bahan kimia yang memberi kesan segera seperti gatal atau rasa terbakar.

"Logam berat ini mengambil masa yang lama untuk memberi kesan kepada manusia tetapi kesannya amat memudaratkan.

"Lebih membimbangkan, sebahagian besar bahan kimia dan logam berat daripada sisa elektronik ini sukar terurai (degradasi) secara semula jadi. Mungkin ada yang tidak akan musnah untuk tempoh seribu tahun. Oleh itu, impak sisa elektronik kepada kesihatan manusia dan alam sekitar adalah sangat signifikan," katanya.


PROGRAM Kutipan Komputer Terpakai @ Pulau Pinang, yang dijalankan di Bayan Baru, Pulau Pinang. - Foto Danial Saad

Prof Ahmad Fariz berkata, pendedahan pada sisa toksik boleh mengakibatkan kelahiran bayi yang cacat dan tidak matang, kerosakan otak, kegagalan jantung, hati, paru-paru dan buah pinggang.

"Implikasi sisa elektronik adalah amat meluas dan sangat kompleks kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

"Bukan kita tidak boleh guna barangan elektronik tetapi apabila barangan itu sudah rosak, ia harus dilupuskan dengan cara yang betul. Namun, apa yang berlaku sekarang, banyak pengguna yang memilih untuk menyimpan barang yang sudah rosak ini. Ini lebih mendedahkan mereka kepada bahaya sisa elektronik," katanya.

Laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar turut meletakkan bateri telefon bimbit sebagai bahan buangan e-Waste (SW-103) mengikut Jadual 1, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, yang perlu dilupuskan secara teliti.

Jika pelupusan bateri ini tidak dilakukan dengan sempurna, ia mampu mengakibatkan pencemaran alam sekitar terutama tanah, air bawah tanah dan menjejaskan kesihatan awam.

Laman web itu juga menyenaraikan kandungan bahan bateri, termasuk kadmium, yang boleh merosakkan paru-paru, buah pinggang, tulang dan risiko menghidapi kanser.

Litium pula mampu menyebabkan kesan sampingan seperti cirit-birit, loya, muntah dan ketidaklancaran pertuturan serta kesukaran untuk berjalan, sementara merkuri pula boleh mengakibatkan kesan buruk kepada sistem saraf dan buah pinggang dan menimbulkan masalah kepada penglihatan, pendengaran dan hilang ingatan.

Bagaimana sisa elektronik ini harus dilupuskan? Ikuti penjelasan selanjutnya, esok.

156 dibaca
Berita Harian X