Sabtu, 26 September 2015 | 7:03pm

Bekas imam maut digilis lori berhampiran Masjid Sungai Batu


SEORANG warga emas maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di hadapan masjid Sungai Batu Teluk Kumbar, semalam. - Foto Ihsan pembaca

BALIK PULAU: Bekas imam sebuah masjid di Teluk Kumbar di sini, maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori, sebelum terjatuh dan digilis kenderaan itu di Jalan Teluk Kumbar-Bayan Lepas, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan Lai Fah Hin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 petang itu, mangsa Yahya Said, 78, dalam perjalanan pulang selepas menunaikan solat Zohor di Masjid Sungai Batu, tidak jauh dari lokasi kemalangan.

"Kemalangan itu berlaku apabila lori yang membawa muatan pasir dari arah Bayan Lepas menghala Teluk Kumbar bergesel dengan motosikal ditunggang mangsa hingga menyebabkan dia terjatuh," katanya di sini hari ini.

Fah Hin berkata, mangsa digilis lori berkenaan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mayat dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan pemandu lori berusia 35 tahun itu.

Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X