Isnin, 29 September 2014 | 9:05am

'Dinding pakatan sudah retak, tunggu roboh sahaja'

PELANTIKAN Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali meredakan sedikit krisis politik di Selangor. Satu bab dikira sudah selesai. Namun, ramai menyatakan politik di Selangor kini memasuki fasa baharu.

Benarkah begitu atau krisis politik ini memberi perspektif baharu dalam hubungan antara parti dalam pembankang. Wartawan BH Ahad, MOHD AZIS NGAH dan ROHANIZA IDRIS menemu bual bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim dan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat yang sebelum ini lantang bersuara dalam banyak isu membabitkan hubungan PAS dalam pakatan pembangkang serta beberapa keputusan bersama yang dilihat tidak memihak kepada mereka.

Wartawan: Apa pandangan Tunku mengenai krisis Menteri Besar (MB) Selangor?

Tunku Abdul Aziz: Satu saja yang saya nampak daripada krisis MB Selangor ini iaitu hubungan antara tiga parti dalam pembangkang. Jelas membuktikan ketiga-tiga parti berkenaan sebenarnya tidak serasi bersama walaupun mereka menyatakan dalam satu pakatan. Sebenarnya, ini satu daripada tanda wujud ketidaksepakatan sebenarnya. Fokus ketiga-tiga parti pun jelas berbeza, maka sukar mereka mewujudkan keserasian walaupun kini masuk penggal kedua penggabungan mereka.

Masa yang lama diperlukan menyelesaikan krisis MB ini. Itu pun dengan campur tangan dan kuasa Sultan. Jika tidak, saya percaya ia tidak akan selesai. Perlembagaan negeri sebenarnya penentu kepada penyelesaian krisis MB Selangor. Keretakan pembangkang semakin jelas kita lihat. Jika ia sebuah dinding... keretakan semakin jelas dan sekarang kita berikan kepada masa menentukan nasib pakatan sama ada ia kekal atau yang retak akan terus terbelah dan pecah.

S: Adakah pelantikan Azmin sudah menyelesaikan pertikaian antara ketiga-tiga parti?

J: Pada dasarnya ia nampak sudah selesai. Namun, perlu diingatkan bahawa penyelesaian ini bukan dibuat oleh ketiga-tiga parti, sebaliknya ia diselesaikan melalui perlembagaan negeri dan budi bicara serta kuasa Sultan Selangor. Bererti, pelantikan Azmin sudah menyelesaikan isu pelantikan MB baharu Selangor tetapi bukan menamatkan krisis ketiga-tiga parti. Memang semua parti menerima kerana ia kuasa Sultan melantik MB, mahu atau tidak Azmin sudah dilantik dan mengangkat sumpah sebagai MB.

Persoalannya kini bagaimana corak hubungan parti dalam pembangkang sekarang lebih-lebih lagi dalam penentuan jumlah EXCO kerajaan negeri mengikut parti yang nampak sudah berubah berbanding sebelum ini.

S: Ramai yang berasakan Azmin akan mentadbir Selangor sebagai boneka Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim?

J: Saya berpandangan Azmin akan menguruskan Selangor mengikut acuannya sendiri walaupun ramai percaya Anwar di belakangnya. Saya percaya Azmin ada gaya dan pendiriannya sendiri dan cara beliau sudah tentu berbeza dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Abdul Khalid tidak disukai sesetengah orang kerana beliau seorang ahli korporat yang profesional dan sangat tegas dalam beberapa perkara. Azmin orang lama dan sudah tahu selok-belok politik, pendekatan beliau pasti berbeza dan saya berasa beliau sudah mampu berdiri sendiri walaupun selama ini dibayangi Anwar.

Apabila seseorang sudah ada kuasa yang besar seperti ini, pastinya beliau sudah tahu membuat pertimbangan sendiri tanpa bergantung lagi pada orang lain. Sudah sampai masa beliau kikis bayangan Anwar. Lagipun rakyat mengharapkan Azmin mampu membawa perubahan dengan gaya sendiri. Harapan rakyat sangat tinggi kepada beliau pada masa ini. Rakyat sedang menilainya.


BEKAS Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim. - Foto Saifullizan Tamadi

S: Berdasarkan jumlah EXCO yang dilantik, Azmin nampaknya mengubah kedudukan dengan empat kerusi diberikan kepada PKR dan masing-masing tiga untuk PAS dan DAP. Bagaimana Tunku melihat perkara ini?

J: Susah saya hendak komen mengenai perkara ini tetapi nampaknya Azmin membuat keputusan berdasarkan tekanan sesetengah pihak. Bacaan saya beliau mungkin terpaksa menukar nisbah EXCO berdasarkan tekanan daripada pihak yang ada. Nampaknya kita kena beri masa kepada beliau sebelum boleh menilai gaya sebenar beliau dan biarkan masa menentukannya.

S: Adakah DAP berperanan besar dalam menentukan kerusi EXCO ini kerana secara terang-terangan mereka tidak setuju PAS diberikan lebih kuota?

J: Ya, DAP sudah tentu memainkan peranan mereka mempengaruhi keputusan supaya jumlah EXCO daripada PAS dikurangkan kerana mereka terang-terangan menyatakan jumlah EXCO PAS perlu dikurangkan. DAP memang sangat bijak menyusun strategi mereka kerana mereka sudah tahu selok belok, kelebihan dan kelemahan parti dalam sekutu mereka sendiri.

Mereka tahu sentimen pengundi dan menggunakan ia sebagai strategi untuk menarik pengundi. Sepanjang dalam DAP, saya sudah nampak permainan DAP ini. Mereka tahu bagaimana untuk menangani setiap parti dan pengundi berdasarkan parti mereka. DAP memang parti yang mengambil kesempatan untuk memastikan cita-cita mereka tercapai.

S: Baru-baru ini, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang membidas PKR mencuri dua wakil rakyat PAS untuk mencapai hasrat menjadikan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai MB Selangor. Benarkah ada golongan 'barua dan broker' dalam PAS?

J: Memang wujud kumpulan sebegitu. Perkara ini bukan baharu. Memang ada dalam kepemimpinan PAS yang pro kepada PKR atau pro-Anwar. Malah, sekarang jelas dalam PAS ramai yang berani dan begitu lantang mengkritik kepemimpinan dalam parti termasuk presiden sendiri. Sepanjang krisis MB Selangor ini pun kita boleh nampak pendirian sesetengah pemimpin PAS terhadap isu berkenaan yang bercanggah dengan pendirian tertinggi parti dan presidennya.

S: Adakah ini bermakna wujud keretakan dalaman parti itu sendiri dan bukan hanya tertakluk kepada parti dalam pakatan saja?

J: Krisis MB Selangor secara tidak langsung mendedahkan krisis yang ada dalam parti seperti PAS. Jika di dalam parti sendiri tiada kesefahaman, bagaimana mereka mahu mewujudkan persefahaman dalam pakatan yang ada. Jelas, krisis MB mendedahkan banyak kepincangan dan perkara yang tidak kena bukan hanya masalah dalaman sesetengah parti, malah masa depan dan kerjasama antara parti dalam pembangkang.

S: Bagaimana masa depan pembangkang selepas ini?

J: Seperti saya katakan tadi mereka kini sudah masuk fasa sukar yang sudah nampak bibit ketidaksefahaman sesama mereka. Pakatan mereka tidak terbentuk secara rasmi atas satu kepercayaan tetapi hanya berdasarkan setiap parti mengambil kesempatan antara satu sama lain untuk memenuhi cita-cita masing-masing yang berbeza. Saya percaya ia tidak akan kekal lama. Seperti saya kata tadi, retak itu sudah ada di dinding dan kini kita hanya menanti retak itu makin membesar dan akhirnya menyebabkan tembok itu runtuh.

S: Bagaimana pula dengan kepercayaan pengundi. Adakah parti ini terus mendapat sokongan rakyat?

J: Itulah yang kita bimbangkan. Sepatutnya rakyat sudah nampak bahawa pakatan bukan satu gabungan yang benar-benar ikhlas, sebaliknya masing-masing menetapkan perjuangan berbeza. PAS tetap dengan cita-cita negara Islam mereka, manakala DAP tidak mahu ia terjadi dan PKR lebih kepada perjuangan menegakkan cita-cita Ketua Umumnya, maka buatlah penilaian sebaiknya. Adakah parti dalam pakatan ini masih terus boleh dijadikan tempat untuk bersandar atau sebaliknya.

Saya mengajak rakyat membuat penilaian dengan bijak bagaimana isu MB di Selangor jelas menunjukkan bahawa krisis dan permainan politik mereka hasil ketidaksefahaman menyebabkan pentadbiran negeri terjejas hampir dua bulan. Kita maklum Selangor negeri termaju dan terkaya di Malaysia boleh digugat hanya kerana krisis pelantikan MB. Saya nampak parti dalam pakatan ini hanya tahu bermain politik tanpa memikirkan kesejahteraan rakyat.

Rakyat kena menilai dan buat keputusan terbaik, jangan gadaikan undi kita untuk parti politik yang hanya pandai main politik tetapi tidak tahu mengurus dan mentadbir negeri atau negara. Semuanya di tangan pengundi dan pengundi sekarang semakin bijak dan matang.

'Jangan keruhkan keadaan yang sudah kembali jernih'


KETUA Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat. - Foto Syarafiq Abd Samad

S: Kerusi EXCO PAS dikurangkan kepada tiga berbanding empat sebelum ini. Adakah ini hukuman kepada PAS kerana tidak menyokong pencalonan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Azizah sebagai calon MB Selangor sebelum ini?

Suhaizan: Pengurangan kerusi daripada empat kepada tiga untuk jawatan EXCO bukan suatu hukuman kepada PAS. Parti ini berjiwa besar dalam membantu MB yang baharu mengurus negeri dengan bijaksana. Sebagaimana DAP yang hanya menerima jumlah kerusi yang sama iaitu tiga jawatan EXCO sejak sesi lalu dan sesi ini dalam keadaan mereka juga mempunyai 15 kerusi DUN. Perkara yang lebih utama adalah PAS boleh menyumbang kepada rakyat Selangor secara strategik bersama pakatan dan segala keputusan penting kerajaan dibuat secara kolektif. Beri masa dan peluang kepada MB baharu untuk mencorakkan politik budiman di Selangor.

S: Sebaliknya, PAS diberikan jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN). Adakah ini hadiah sagu hati seperti yang diminta oleh Ketua Wanita PKR kerana marahkan PAS tidak menyokong pencalonan Wan Azizah?

J: Ahli PAS dididik dalam sistem tarbiah agar tidak meminta jawatan. Jawatan ini amanah bukan keistimewaan. Setiap amanah akan dipersoal di akhirat kelak. Perkara yang lebih utama kepada PAS adalah dapat melaksanakan amanah bukan mengkhianati amanah. Cuma saya nasihatkan kepada kepemimpinan pakatan jangan keruhkan keadaan yang sudah kembali jernih. Setiap kekeruhan merugikan pembangkang dan menghampakan rakyat.

S: DAP menyifatkan empat EXCO PAS yang kekal bersama Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai pengkhianat, sedangkan mereka mengikut arahan parti. Kini hanya dua daripada mereka kekal sebagai EXCO. Adakah PKR sebenarnya banyak bertindak mengikut telunjuk DAP termasuk isu pemilihan MB dan EXCO Selangor?

J: Empat orang EXCO sebelum ini bukan pengkhianat. Mereka mengikut keputusan PAS menutup ruang kosong yang mungkin akan diisi oleh agenda pihak lawan. Keadaan waktu itu sangat kritikal. Pimpinan pakatan perlu mencari muafakat dalam perkara ini. Elakkan pertembungan yang akan merumitkan keadaan. Saya berpendapat bahawa MB baharu memahami senario yang berlaku. Azmin tentunya tidak menganggap mereka pengkhianat kerana dua daripada empat diterima menjadi EXCO. Jika pengkhianat sudah tentu MB tidak langsung melantik mereka. Tohmahan yang mengatakan MB mengikut telunjuk DAP juga tidak benar. Jika benar sudah tentulah EXCO DAP yang akan bertambah kerana DAP yang mempunyai kerusi DUN terbanyak pada waktu ini.

S: Jadi, apa harapan Pemuda PAS khasnya terhadap MB Selangor yang baharu termasuklah soal hubungan dalam pakatan?

J: Pakatan baharu saja melalui keadaan yang sulit sejak melaksanakan tindakan 'Langkah Kajang'. MB baharu, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR bertanggungjawab memperkukuh pakatan khususnya di Selangor dan secara amnya di Malaysia. Jadikan Selangor model untuk menawan negeri seiras dengannya seperti Johor dan Perak. Saya juga berbangga kerana ramai EXCO muda dibawa masuk dalam kerajaan. Saya berharap pemuda pakatan dapat bekerjasama dengan dengan kerajaan Selangor membangunkan anak-anak muda Selangor dan merangsang anak muda luar Selangor untuk berdaya maju bergerak ke hadapan.

S: Perlu atau tidak PAS mengkaji semula kedudukan dalam pakatan memandangkan banyak isu bersama yang tidak memihak kepada PAS, sedangkan PAS dilihat sebagai parti yang mampu berdikari serta mempunyai pengaruh besar dan cukup berpengalaman?

J: Kajian terhadap pakatan bertujuan memperkukuhkannya bukan meruntuhkannya. Walaupun PAS parti yang lama tetapi bertahaluf syiasi dengan PKR dan DAP terlalu baharu. Bagi saya, keluar daripada pakatan adalah agenda pihak lawan untuk meruntuhkan gabungan dan mengembalikan PAS pada era 1980-an. Ruang dakwah dan siasah PAS dalam pakatan pembangkang adalah lebih luas berbanding PAS bersendirian.

S: Bagaimana dengan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang yang meluahkan amaran wujudnya golongan 'broker' dan 'barua' dalam parti. Adakah ia merujuk kepada kumpulan atau individu tertentu, siapakah mereka?

J: Istilah yang diungkapkan oleh presiden itu lebih sebagai satu peringatan kepada semua ahli PAS agar tidak mengkhianati perjuangan. Presiden tidak mengkhususkan kepada sesiapa, cuma setiap ahli PAS perlu memandang serius teguran beliau agar tidak terjebak dalam kategori manusia yang merugikan perjuangan PAS. Saya meyakini semua ahli dan pimpinan PAS cukup ikhlas dan penuh iltizam menggalas amanah perjuangan ini.

S: Adakah beberapa 'ujian' yang terpaksa dirempuh PAS ini melemahkan parti atau sebaliknya?

J: Apa yang dilalui oleh pembangkang sekarang adalah proses kematangan yang perlu dilalui oleh mana-mana pertubuhan di dunia ini. Proses yang dilalui ini akan lebih memperkukuhkan lagi gabungan ini.

Berita Harian X