Isnin, 29 September 2014 | 8:53am

Selangor: Bercerai kasih, talak tiada

Menteri Besar (MB) yang baharu, Mohamed Azmin Ali berdepan cabaran getir mentadbir Selangor kerana selepas ini, selain sibuk merangka Bajet 2015 menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) November depan, beliau juga terpaksa mententeramkan keadaan dalam pakatan tiga parti.

Jika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada babak awal pentadbirannya setelah pakatan pembangkang mula menguasai Selangor selepas pilihan raya umum 2008, berdepan pelbagai tekanan daripada Barisan Nasional (BN) dengan isu kompleks seperti masalah air, Azmin pula kini berdepan krisis dalaman.

Azmin perlu banyak menghabiskan masa buat permulaan pentadbirannya untuk mengharmonikan suasana dalam pakatan pembangkang, yang kerap berbalas kenyataan dan sindir-menyindir sesama sendiri, apatah lagi pemilihan beliau sebagai MB bermula dengan kontroversi.

Pada hari pertama pengumuman nama Azmin sebagai MB lagi, PKR sudah mengeluarkan kenyataan bahawa pelantikan itu tidak mengikut keperluan perlembagaan Selangor, dengan alasan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail atau Nona Azizah mendapat sokongan majoriti.

Apabila Azmin mengumumkan senarai EXCOnya, PAS pula terkejut kerana jumlah EXCO dikurangkan daripada empat kepada tiga saja, dan PKR memperoleh satu tambahan. Ini menjadikan komposisi EXCO PKR 4, PAS 3 dan DAP kekal 3. Tidak pasti apakah alasan Azmin berbuat demikian, sedangkan PAS menguasai 15 kerusi, DAP 15 dan PKR 13.

Apakah itu satu hukuman untuk PAS yang sebelum ini lantang mempertahankan Khalid atau Azmin mengambil kira dua ADUN PAS yang menyokong pencalonan Nona Azizah sebagai MB sebelum ini, sebagai 'ADUN PKR'?

Mungkin Azmin mahu mengambil hati PAS apabila memberi parti itu jawatan Timbalan Speaker DUN, namun jawatan itu lebih tertumpu kepada istiadat, meskipun bergaji besar dan ia tidak sama seperti EXCO. Lantas, PAS rasa tertipu di sebalik sokongan berterusannya dari awal lagi menyokong pencalonan Azmin untuk menggantikan Khalid.

Sebelum ini juga DAP menggelar empat EXCO Selangor dari PAS dalam pentadbiran Khalid sebagai pengkhianat sehingga menggagalkan misi Nona Azizah mengambil alih jawatan MB.

Malah dalam pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor baru-baru ini, tiada pemimpin kanan PKR dan DAP kelihatan berkempen, sekali gus menggambarkan kemelut isu MB Selangor memberi tempias dalam hubungan pakatan.

Kemuncaknya ialah kemurkaan Sultan Selangor yang menegur pakatan pembangkang kerana mencetuskan kemelut MB Selangor, dimulakan oleh 'Langkah Kajang' yang diilhamkan PKR untuk menyingkirkan Khalid.

Lantas, pencakaran sesama sendiri antara PKR, PAS dan DAP rentetan kemelut isu MB Selangor bagaikan lagu Gurindam Jiwa nyanyian Nordin Ahmad dan Latifah Omar, yang liriknya antara lain berbunyi:

Batang selasih permainan budak

Daun selasih dimakan kuda

Bercerai kasih talak tiada

Seribu tahun kembali juga.

Oleh itu, hubungan PKR/DAP dengan PAS kini ibarat 'bercerai kasih, talak tiada'. Entah bagaimana masa depan tiga parti itu dan andai PAS keluar pakatan, bermakna jatuhlah 'cerai talak satu'.

Berita Harian X