Isnin, 29 September 2014 | 8:51am
WAYNE Rooney meraikan jaringan pembukaan Man United yang dijaringkan olehnya sendiri ketika bertemu West Ham United di Old Trafford. - Foto AFP

EPL: Saya memang patut dapat kad merah - Rooney

MANCHESTER: Wayne Rooney mengakui dia sememangnya patut diarah keluar padang ketika kemenangan 2-1 Manchester United ke atas West Ham United, kelmarin yang menambah jumlah kad merahnya kepada enam sepanjang kariernya.

Insiden kekasaran ke atas pemain Hammers, Stewart Downing, sekali lagi meletakkan Rooney yang dilantik sebagai kapten United oleh Louis van Gaal di Old Trafford musim ini dalam perhatian.


REAKSI penyerang Manchester United, Wayne Rooney bersama rakan sepasukannya, Robin van Persie selepas diarah keluar oleh pengadil, Lee Mason ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang West Ham United di Old Trafford. - Foto Reuters

Lebih memalukan, insiden itu hadir hanya beberapa jam sebelum penyerang England itu menyambut tempoh sedekadnya bersama United.

"Saya tahu kali ini saya tersalah perkiraan," kata pemain berusia 28 tahun itu.

"Ia adalah kad merah dan saya tidak fikir saya akan memberi manfaat kepada sesiapapun untuk membuat rayuan mengenai keputusan itu. Ia mungkin keputusan yang baik.

"Saya melihat pemain West Ham melakukan serangan balas dan saya cuba untuk mematahkan gerakan itu namun perkiraan saya salah.

"Saya tahu semua orang tahu (melakukan kesilapan), jadi saya hanya bersyukur rakan sepasukan saya mampu bertahan," katanya.

Kad merah pertama Rooney bersama United hadir pada lima setengah tahun lalu.


PENYERANG Manchester United, Wayne Rooney melangkah keluar daripada padang selepas menerima kad merah oleh pengadil perlawanan ketika aksi menentang West Ham United di Old Trafford. - Foto AP

Dan tindakannya kali ini memaksa Rooney terlepas aksi Liga Perdana Inggeris menentang bekas kelabnya, Everton, Chelsea dan West Brom akibat penggantungan.

Begitupun, Rooney berkata, dia hanya meminta maaf kepada rakan sepasukannya namun bukan Downing.

"Tidak. Saya bukan sengaja menendangnya," kata Rooney. "Saya hanya cuba untuk menyekatnya namun untuk berlaku adil kepadanya, dia berjaya menjarakkan diri daripada saya dan kerana itu kaki saya nampak lebih lurus daripada yang sepatutnya.

"Ketika dia mahu melarikan bola, kaki saya dalam keadaan lurus dan ia jelas mengapa pengadil memberikan kad merah," katanya.

Rooney yang meledak gol pertama United pada perlawanan itu begitupun masih boleh beraksi pada aksi kelayakan Euro 2016 menentang San Marino dan Estonia, bulan depan.

Begitupun, kapten England itu hanya boleh beraksi bersama United sehingga penghujung November ketika menentang musuh tetangga, Manchester City.

"Ia perkara paling mengecewakan. Saya amat kecewa selepas saya akan terlepas tiga perlawanan. Ia sukar untuk diterima. Namun perlawanan untuk England sedikit membantu dan latihan juga baik." - AFP

Berita Harian X