Jumaat, 25 September 2015 | 4:45pm

MH370: Keluarga penumpang fail saman

KUALA LUMPUR: Keluarga sepasang suami isteri yang juga penumpang pesawat MH370 mengemukakan saman kecuaian dan kemungkiran kontrak terhadap Malaysia Airlines Berhad dan empat yang lain, berhubung kehilangan dan kematian pasangan terbabit.

Pasangan itu, Tan Ah Meng, 46; isterinya Chuang Hsiu Ling, 45, pada ketika kejadian adalah pengarah sebuah syarikat kejuruteraan dan pembinaan.

Turut bersama mereka dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing 8 Mac tahun lalu itu adalah anak sulung mereka, Tan Wei Chew, 19.

Keluarga pasangan berkenaan yang memfailkan saman itu terdiri daripada dua anak mereka, Tan Wei Hong, 15, dan Tan Wei Jie, 13; Tan Hun Khong, 84, dan Lai Chew Lai, 82, (ibu dan bapa Ah Meng); serta Chuang Hung Chien, 75, (ibu Hsiu Ling).

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan 28 Ogos lalu, kelima-lima plaintif menamakan Malaysia Airlines System Berhad; Malaysia Airlines Berhad; Ketua Pengarah Penerbangan Awam Malaysia (DCA); Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga kelima.

Plaintif dalam pernyataan tuntutan mereka berkata, Malaysia Airlines System Berhad memungkiri kontrak perjanjian apabila gagal memastikan pesawat berada dalam keadaan baik dan sempurna menyebabkan penumpang dan pesawat gagal dikesan.

Kecuaian itu, kata plaintif menyebabkan Wei Hong dan Wei Jie menjadi yatim piatu selain turut kehilangan abang sulung, menyebabkan mereka menderita kehilangan sokongan kewangan serta kasih sayang ibu bapa.

Plaintif berkata, Ketua Pengarah DCA gagal mengambil tindakan sewajarnya dalam tempoh yang munasabah untuk berhubung semula atau melancarkan pencarian pesawat ketika kehilangan perhubungan.

Kata mereka, kehilangan pesawat boleh dihindarkan jika defendan keempat memantau radar dalam masa sebenar dan mengambil segala tindakan ketika kejadian, selain mendakwa Kerajaan Malaysia gagal menguruskan kehilangan pesawat itu secara berhati-hati dan telus.

Sehubungan itu, semua plaintif  menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada mereka, ganti rugi am;  ganti rugi kehilangan sokongan; ganti rugi teruk dan teladan, kos serta relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Sementara itu, peguam Sanggeet Kaur Deo yang mewakili semua plaintif ketika dihubungi berkata, mahkamah menetapkan pada 5 Oktober ini bagi pengurusan kes saman itu.

Berita Harian X