Jumaat, 25 September 2015 | 3:16pm
KERETA Perodua Viva yang terjunam ke dalam sungai berjaya ditarik dari dasar Sungai Korok di Kampung Kubang Sepat, Jitra. - Foto Zuliaty Zulkifli

Lelaki maut, wanita selamat kereta terjunam dalam Sungai Korok

JITRA: Seorang anggota tentera ditemui lemas selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki bersama rakan wanitanya terjunam ke dalam Sungai Korok, di sini awal pagi tadi.

Mangsa, Mohammad Izzat Harun, 23, ditemui di bahagian belakang kereta terbabit kira-kira jam 10.30 pagi oleh sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sungai Petani selepas usaha menyelamat dilakukan bermula jam 9.30 pagi tadi.

Komander Operasi JBPM Kedah, Penolong Penguasa Bomba Mohd Izham Abdul Rahim, berkata Perodua Viva merah itu berjaya dikesan Unit PPDA pada kedalaman kira-kira 10 meter.

Katanya, ketika kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa bersama rakannya, Rusamira Abdullah, 20, dalam perjalanan dari arah Jitra ke Ayer Hitam, di sini.

Bagaimanapun, katanya, setibanya di lokasi, kereta terbabit terjunam ke dalam sungai tetapi wanita itu berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap bahagian kiri penumpang hadapan yang pecah.

"Tujuh anggota PPDA Sungai Petani yang tiba di lokasi kejadian untuk membantu dan menyelamat mangsa di sungai berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kereta mangsa ditemui pada jarak kira-kira 50 meter dari tempat ia terjunam dan tersekat pada lumpur selain arus kuat. Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar Unit Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat.

"Wanita itu dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan ia disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

15 dibaca
Berita Harian X