Jumaat, 25 September 2015 | 7:04am

MeMalaysiakan sekolah utuh bahasa Melayu

Laporan muka depan BH mengenai peminggiran bahasa Melayu jelas memaparkan realiti bernegara yang tidak manis. Pada saat Hari Kebangsaan baharu saja disambut, pendedahan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengenai kekecewaan tahap penggunaan bahasa Melayu yang masih tidak mencerminkan kemuliaannya sebagai status 'bahasa negara' bagi Malaysia memerlukan keprihatinan semua peringkat masyarakat.

Adalah perlu kita sedari kedudukan bahasa sebagai perantara komunikasi manusia adalah terpenting. Setiap kaum dan juga negara mesti mempunyai bahasa khusus yang menjadi pengantara komunikasi negara dan rakyat. Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yakni boleh diertikan lebih mudah sebagai 'bahasa negara'.

Bahasa Melayu menjadi bahasa negara telah digagaskan dengan tegas dalam perundangan negara ini. Peruntukan yang hakiki dicatat menerusi Perlembagaan Persekutuan. Bahasa Melayu dan hak bahasa ini sebagai bahasa negara telah terkanun dengan jelas. Kedudukan ini termeterai dengan perkiraan janji yang dibuat ketika penggabungan matlamat antara tokoh utama peneraju tiga kaum utama negara ini bagi menyedia landasan asas pengisian negara merdeka.

Perjanjian yang memeterai warisan wasiat pejuang merdeka disebut secara ilmiah sejarah sebagai kontrak sosial atau juga boleh disebutkan sebagai 'janji murni', nilai bahasa Melayu dipersetujui, sebagai terpenting dan dikanunkan dalam Perlembagaan di bawah Perkara 152.

Bahasa Melayu 'bahasa perlembagaan'

Impak perundangan secara khusus memaktubkan Perkara 152 bahawa Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen. Maka sekali gus kedudukan bahasa Melayu terus diangkat sebagai 'bahasa perlembagaan' yakni bahasa yang dilindungi secara undang-undang. Harus juga dipertahan dan diperkembangkan.

Bahkan pengamal undang-undang juga harus faham jika wujud percanggahan ayat atau fakta dalam perlembagaan versi bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu, maka perlembagaan versi bahasa Melayu itu dikira sahih dan tepat mengatasi cetakan versi bahasa asing.

Peruntukan sebegini secara langsung menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa berdarjat tinggi di negara ini. Ia adalah bahasa yang didahului dari segala bahasa yang ada dalam negara. Maka seharusnya semua pihak bukan sahaja perlu memahami bahawa memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa bersifat kaum atau bangsa tetapi ia adalah bahasa negara yakni bahasa yang dikanunkan taraf kedudukannya dan menjadi bahasa yang dilindungi khusus oleh undang-undang negara.

Kerajaan tidak boleh lagi membiarkan masalah rakyat yang 'kurang upaya' dalam penguasaan bahasa Melayu ini terus berlaku.

Kewujudan sekolah berasaskan kaum Cina dan India dengan mengutamakan bahasa ibunda mereka dalam pengajaran subjek di kelas boleh dilihat sebagai antara faktor utama pengancam pengukuhan bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan untuk dipupuk seawal usia kanak-kanak dalam agenda penyatuan nasional.

Masalah politik berteraskan agenda kaum yang diamalkan oleh parti politik kaum Cina dan India termasuk juga di dalam komponen parti pemerintah telah membawa kepada pengukuhan dasar pecah dan perintah berasaskan kaum di sektor pendidikan Malaysia.

Keaslian ciri kaum perlu kekal

Bagi mereka untuk menjadi Malaysia yang tulen, maka keaslian ciri kaum itu perlu kekal dan menafikan agenda meMalaysiakan sektor pendidikan secara teras kebangsaan. Ini antara punca berlakunya keciciran dalam kalangan remaja dan belia kaum Cina termasuk kaum India dalam menguasai bahasa Melayu secara fasih termasuk pandai membaca dan berkomunikasi dengan kefahaman minda yang jelas akan maklumat yang disampaikan dalam bahasa Melayu.

Kesedaran padah yang dibawa politik kaum dalam soal pendidikan sekolah hingga boleh membinasakan teras utama membina bangsa mungkin telah membuatkan beberapa negara serantau bertindak tegas. Thailand, Indonesia dan juga Singapura secara langsung lebih kuat mengamalkan konsep asimilasi kenegaraan kepada semua warganegara mereka kerana percaya jika elemen teras negara dapat dikecualikan dari pengamalan di sesetengah tempat dan keadaan, ia boleh menjadi pencetus kepada perpecahan masyarakat pada masa hadapan.

Tidak terlewat bagi kerajaan sedia ada untuk bertindak meMalaysiakan semua sekolah yang ada dan diserapkan dengan nilai teras negara seperti yang terpupuk dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika ini masih terabai, maka akan wujud seolah autonomi kepada kaum tertentu dengan penguasaan di wilayah tertentu yang tidak memerlukan penguasaan bahasa Melayu secara total dalam kehidupan.

Istilah 'jenis' dan kaum seperti 'Cina' atau 'India' harus dimansuhkan penggunaannya dan kekalkan nama sekolah berkenaan kepada Sekolah Kebangsaan sahaja. Contohnya jika sebuah sekolah itu kini bernama Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ah Loi, maka tukarkan kepada Sekolah Kebangsaan Ah Loi. Ia lebih bersifat kebangsaan dari segi istilah digunakan. Jika model negara maju ingin diterapkan, maka Amerika Syarikat dan Australia serta Britain juga menolak model sekolah perkauman seperti yang ada kini di negara kita. Untuk maju, maka SJK kaum ini perlu kali ini diubah.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X