Rabu, 23 September 2015 | 11:04am

Ziana Zain dedah kisah kucing, rindu buat konsert

PENYANYI, Ziana Zain. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Ziana Zain mendedahkan mengenai kisah silamnya yang membesar dalam keluarga yang gemar membela kucing sebagai binatang peliharaan.

Malah dari celik mata lahir sejak lahir sehinggalah usianya mencapai 35 tahun, kehidupannya banyak bertemankan kucing di rumah.

Cuma seiring dengan peningkatan usia, peredaran masa dan kesibukan komitmen kerja, semua itu tinggal kenangan sehinggalah anaknya pula cukup menyukai kucing.

"Persoalan sekarang dengan pertambahan ahli keluarga, macam mana nak jaga kucing lagi. Ruang juga sudah terbatas untuk membela kucing. Persoalan siapa nak jaga kucing pun harus dijawab kerana masing masing sibuk dengan kerja.

"Selain sukakan kucing, saya juga seperti wanita lain suka memasak. Rasa puas dapat masak untuk orang yang kita sayangi," kata Ziana menjawab kepada pertanyaan apa yang orang jarang tahu mengenainya.

Dalam pada itu, selepas sekian lama tidak muncul dengan single baharu, kakak kepada penyanyi Anuar Zain itu mensasarkan sekurang kurangnya untuk tampil dengan produk nyanyian pada tahun hadapan.

"Kali ini, saya akan nyanyi lagu yang suka selain ambil pendapat peminat. Garap semua itu dengan menggunakan khidmat komposer, Insya-Allah akan jadi.

"Lagu ini tak kiralah macam mana bunyinya kalau kerap diputarkan di radio pada akhirnya tetap diminati. Sekarang ini saya lihat ada lagu yang tak ada maksud pun tetapi kalau selalu pihak radio mainkan, ia akan jadi popular juga.

"Saya juga terbuka untuk bekerjasama dengan komposer baru. Dalam hati saya berharap dapat muncul dengan satu album studio. Kalau dapat bikin konsert solo lagilah terbaik. Rindu sebenarnya nak buat konsert.

"Tapi penat juga dengan isu mencari penaja yang asyik menaja artis antarabangsa sahaja," katanya.

Berita Harian X