Rabu, 23 September 2015 | 12:03am

Shabab Anwar Malaysia berkorban demi al-Quran

BERJAYA menarik dan menjinakkan hati orang bukan Islam menerusi bacaan al-Quran yang dialunkan, antara kenangan manis yang masih terpahat di ingatan qariah negara, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman al-Yahya, 33.

Bercerita mengenai kejadian itu, wanita yang digelar Shabab Anwar Malaysia dalam kalangan peminat dari Asia Barat kerana menyamakan bacaan dan alunannya seperti qari terkenal Mesir itu, berkata ketika itu beliau berada di Durban, Afrika Selatan untuk memperdengarkan bacaan kitab suci itu dalam satu program.

"Pemuda dari Amerika Syarikat datang berjumpa saya selepas mendengar saya mengaji di atas pentas dan memberitahu selepas mendengar bacaan ayat suci itu, beliau mahu mendalami Islam dan memeluk agama ini.

"Lelaki itu turut mengaku sebelum ini beliau terlalu benci dengan Islam dan al-Quran. Hebatnya hidayah Allah. Hanya dengan mendengar bacaan al-Quran, hatinya terus menjadi lembut dan beliau turut menangis tatkala mendengar bacaan ayat suci itu.

"Kejadian ini menyedarkan saya bahawa al-Quran bukan sekadar seronok membacanya atau perkara yang mendamaikan, tetapi lebih daripada itu. Ia adalah sumber dakwah yang mampu menjinakkan hati," katanya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya disapa warga Arab ketika beliau dan suami, Datuk Seri Mohammad Hizal Othman, 43, bersiar-siar di kota London kerana mengenalinya selepas menonton klip video bacaan Surah Ikhlas yang diperdengarkan dalam YouTube. Klip video itu ditonton lebih lima juta penonton.

"Orang Arab itu menegur saya dan menyatakan kegembiraannya kerana dapat berjumpa secara langsung dengan saya. Dia mengenali saya selepas menonton saya membaca Surah Ikhlas dengan Qiraat Hamzah dalam YouTube. Beliau turut mengikut kami ke hotel untuk berbual lebih lanjut," kata anak jati Ipoh, Perak ini.

Menyingkap kisahnya pada zaman kanak-kanak, wanita yang memegang Ijazah Sarjana Muda Kewangan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) berkata, bapanya, Allahyarham Syed Mohd Badiuzzaman alYahya, terlalu mementingkan didikan agama terutama al-Quran.

"Pada usia lima tahun, saya sudah khatam al-Quran dan setahun selepas itu sudah memahirkan diri dengan bacaan taranum. Setiap kali bapa pulang dari bekerja, beliau akan menanyakan adakah kami sudah solat dan membaca al-Quran. Membaca al-Quran adalah kewajipan setiap kali selepas solat lima waktu," katanya yang pernah menjadi pengacara dan tetamu beberapa program keislaman, termasuk Akademi al-Quran, Kalam Suci, Qari Junior, Shoutul Quran, Bismillah dan Soal Wanita.

Bukan hanya khatam al-Quran pada usia yang hijau, malah berkat didikan ayahnya, beliau berjaya dan menghafal kitab suci itu ketika usia 12 tahun.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Dr Megat Khas, Ipoh dan Sekolah Menengah Teknik Leboh Cator, Ipoh, Sharifah Khasif mengakui zaman remajanya tidak seperti remaja seusia. Masanya banyak dihabiskan dengan al-Quran dan menyifatkan kitab suci itu adalah jiwanya.

Tanpa sekelumit rasa kesal kerana tidak menghabiskan kehidupan seperti remaja lain, wanita yang turut aktif dalam sukan hoki dan bola jaring ketika di bangku sekolah ini, mengakui bahagia dengan kehidupan yang dekat dengan kalam suci itu.

Ketika usianya mencecah 17 tahun, beliau menjadi peserta termuda menyertai tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan berita mengenainya turut disiarkan dalam akhbar tempatan.

Pada masa sama, beliau turut ditawarkan untuk diketengahkan sebagai penyanyi lagu asli kerana kemerduan suaranya, tetapi beliau menolak kerana terlalu cintakan al-Quran.

"Bagi qariah, mendendangkan lagu asli adalah perkara yang mudah. Saya ditawarkan sebagai penyanyi lagu asli. Memanglah bidang itu lebih glamor berbanding sebagai qariah tetapi saya menolak kerana terlalu cintakan al-Quran," katanya.

Kemenangannya dalam Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa pada tahun 2009 menjadi titik tolak dalam kehidupannya sebagai qariah dan pendakwah. Rentetan daripada itu, wanita itu sering dijemput untuk memperdengarkan bacaan dan juri tilawah di luar negara, termasuk Afrika Selatan, Indonesia, Austria, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah lain.

Walaupun mahir membaca al-Quran dan bergelar qariah, beliau tidak berhenti untuk mendalami ilmu al-Quran. Kesanggupan dan pengorbanannya dalam mencari ilmu terbukti apabila beliau melepaskan jawatan sebagai Pegawai Operasi Saluran Astro Oasis hanya untuk mendalami ilmu al-Quran di Yaman dan Mesir.

Berbekalkan wang hasil kemenangan dalam beberapa tilawah serta wang simpanan, beliau ke Yaman ditemani pengurusnya, Haryati Mohd Taha, melanjutkan pengajian dalam bahasa Arab dan al-Quran.

"Mahu berjihad di jalan Allah memerlukan pengorbanan yang besar. Saya bukan daripada keluarga kaya tapi saya sanggup berhabis duit kerana mahu mencari ilmu. Saya gunakan semua harta benda yang ada dan terpaksa berhenti kerja kerana mahu belajar al-Quran dan memenuhi cita-cita menjadi tenaga pengajar al-Quran," katanya.

Sharifah Khasif turut mendapat pengiktirafan Sanad (sandaran) al-Quran daripada Syeikh Fathi Hasan Mohamad Hasan al-Maliji dan Sheikh Inani Nafiq, masing-masing dari Mesir serta Sheikh Basheer Hasan Ali al-Himyari dari Yaman.

Di Yaman, beliau turut berdepan dengan kenangan manis apabila setiap kali bacaannya diperdengarkan, orang tempatan akan menyangkakan beliau adalah wanita Yaman.

"Mereka pelik bagaimana orang Melayu boleh membaca al-Quran seperti rakyat tempatan. Di sana juga saya menerima tawaran mengajar di Universiti Yaman tetapi terpaksa menolaknya kerana mahu berbakti di tanah air sendiri," katanya yang juga berketurunan Hadramaut, Yaman.

Tertarik dengan pementasan qasidah dan burdah di Cape Town, Afrika Selatan pada tahun 2010, Sharifah Khasif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Sharifahkhasif Production Sdn Bhd turut melebarkan hasil seni al-Quran dengan mengeluarkan album pertamanya berjudul Al Husna dan Album Tarannum surah pilihan serta bacaan secara persembahan khas.

Ibu kepada seorang cahaya mata perempuan, Abeer Widaad, enam bulan, kini giat mengadakan kelas al-Quran untuk golongan wanita di pejabatnya di Menara Axiata, Kuala Lumpur.

24 dibaca
Berita Harian X