Selasa, 22 September 2015 | 4:48pm

Kedudukan wakil rakyat PAS dalam Exco Selangor kekal - Azmin

SHAH ALAM: Kedudukan Exco Kerajaan Selangor dari PAS kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri meskipun pakatan baharu pembangkang yang ditubuhkan hari ini tanpa dianggotai PAS.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata status-quo Exco yang dianggotai wakil rakyat dari PAS tidak berubah sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.

MENTERI Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Katanya, ketidakhadiran pemimpin utama PAS dalam mesyuarat pembentukan pakatan pembangkang baharu dikenali Pakatan Harapan bukan isu besar sehingga menimbulkan persoalan status EXCO dari PAS dalam kerajaan Selangor.

"Ini kerana perbincangan di antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) pagi tadi lebih kepada hala tuju pakatan pembangkang untuk tempoh panjang

"PKR berpendirian pintu masih terbuka untuk PAS. Tidak timbul status EXCO PAS. Kita masih terus berbincang dengan PAS dalam isu ini (pembentukan pakatan rakyat baharu)," katanya kepada pemberita di SACC Mall di sini, sebentar tadi.

Tiga wakil rakyat PAS dalam barisan Exco Selangor ialah Datuk Iskandar Abdul Samad (Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi) dan Zaidy Abdul Talib ( Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Berita Harian X