Selasa, 22 September 2015 | 9:48am

Pemandu rentung kereta terbakar rempuh pokok


KEADAAN mangsa rentung di dalam kenderaan selepas merempuh pokok di Bentong. - Foto Ihsan Bomba.

BETONG: Seorang pemandu kereta rentung selepas kenderaan dipandunya terbakar di Jalan Bebangai berhampiran RPR Betong, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 1.30 pagi, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok dan terbakar.

Dua jentera bersama 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.

Anggota bomba mengambil masa hampir setengah jam untuk memadamkan kebakaran sebelum pemeriksaan lanjut menemui mayat mangsa yang rentung tersepit di tempat duduk pemandu, namun identitinya masih belum dikenal pasti.

Mayat dihantar ke Hospital Betong untuk bedah siasat dan kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X