Sabtu, 16 Ogos 2014 | 10:54am

Raja Perlis nasihati jemaah haji sentiasa bersabar

ARAU: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menasihati bakal jemaah haji supaya sentiasa bersabar menghadapi dugaan sepanjang berada di tanah suci untuk menunaikan fardu haji.

Baginda bertitah, kehadiran jutaan jemaah di Makkah dari seluruh dunia pasti mengundang pelbagai dugaan dalam menghadapi karenah dan perangai manusia yang pelbagai.

"Dugaan-dugaan ini boleh berlaku di mana sahaja, dalam masjid atau luar masjid. Dalam apa jua keadaan kita hendaklah bersabar menerima dan menganggapnya sebagai ujian Allah S.W.T," titah baginda.

Tuanku Syed Sirajauddin bertitah demikian ketika merasmikan kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perlis 2014 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di Pauh, dekat sini malam tadi.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Khairi Hassan mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Speaker Dewan Undangan Negeri, Hamdan Bahari dan Pengarah Tabung Haji (TH) Perlis, Mohamad Khairi Dasemin.

Tuanku Syed Sirajauddin yakin jemaah haji akan dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna sekiranya dapat menghadapi segala dugaan dengan penuh tawaduk selain sentiasa bertolak ansur dengan jemaah lain.

"Bakal jemaah Perlis terutama warga emas, beta ingin menasihatkan agar banyak minum air supaya segar kerana cuaca di Kota Makkah agak panas," titah baginda sambil mengingatkan warga emas supaya tidak keluar berseorangan semasa berada di tanah suci.

Terdahulu, Ketua Pegawai Pelaburan TH, Abdul Kadir Sahlan dalam ucapannya berkata, sebanyak 340 orang rakyat Perlis terpilih untuk menunaikan fardu haji tahun ini.

Katanya, tahun ini TH membelanjakan RM130 juta untuk menampung subsidi jemaah haji negara ini untuk menunaikan fardu haji di samping RM4 juta untuk menganjurkan kursus haji. - BERNAMA

Berita Harian X