Selasa, 22 September 2015 | 12:02am

Haji perkuat ukhuwah Islamiah


KEMUNCAK ibadat haji adalah wukuf di Padang Arafah yang menentukan sahnya rukun Islam kelima seseorang jemaah. - Foto Reuters

TALBIAH bermaksud "Ya Tuhanku, aku menyahut seruan Mu" yang dilaungkan lebih 1.4 juta jemaah haji di Makkah, ketika ini bergema di segenap penjuru Masjidilharam.

Sejak 16 Ogos lalu, jemaah haji dari seluruh dunia berpusu-pusu menaiki penerbangan dan kapal, malah ada yang dikatakan mengembara lebih 100 kilometer untuk ke Makkah.

Sambil memakai ihram atau dua lembar kain tanpa jahitan yang menjadi persalinan sepanjang mengerjakan rukun Islam kelima, niat mereka hanya satu iaitu memohon pengampunan dan keredaan Allah.

Saban tahun, kuota jemaah haji dari Malaysia iaitu 22,320 yang diberikan Kerajaan Arab Saudi sentiasa tidak mencukupi, selain ada yang sanggup menabung setiap hari demi menjejakkan kaki ke bumi suci kelahiran Rasulullah SAW.

Kemuncak ibadat haji adalah wukuf di Padang Arafah yang menentukan sahnya rukun Islam kelima seseorang jemaah.

Wukuf bermaksud berdiam diri atau berhenti, yang dilakukan jemaah bermula tergelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehingga terbenam matahari pada keesokannya.

Ada pendapat mengatakan, wukuf di padang Arafah antara lain adalah gambaran kasar mengenai kebangkitan semula seluruh umat manusia selepas hari Kiamat di padang Mahsyar.

Bagi masyarakat Islam yang tidak berpeluang ke Makkah, mereka meraikan Aidiladha yang disambut pada 10 (24 September) hingga 13 Zulhijjah (27 September).

Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, umat Islam keesokan paginya menunaikan solat sunat Aidiladha dan mendengar khutbah.

Kemuncak Aidiladha adalah ibadat korban yang boleh dilakukan sepanjang Hari Tasyrik iaitu antara 10 hingga 13 Zulhijjah.

Ibadat korban adalah perayaan istimewa yang disambut umat Islam bagi memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya, Nabi Ismail AS.

INFO

8 Zulhijjah / 22 September (Makkah ke Arafah)

  • Hari Tarwiyah (hari jemaah berangkat menuju Arafah). Pada pagi 8 Zulhijjah, semua umat Islam tanpa mengira lelaki atau wanita memakai ihram (dua lembar kain putih tanpa jahitan sebagai pakaian haji), kemudian berniat haji.

9 Zulhijjah / 23 September (Arafah)

  • Wukuf di Arafah adalah rukun haji terpenting bagi menentukan sahnya ibadat haji. Tanpa wukuf, ibadat haji akan menjadi sia-sia kerana Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai ibadat haji bersabda, haji itu adalah Arafah (wukuf di Arafah).
  • Ulama bersepakat ibadat wukuf di Arafah ditentukan dengan masa yang jelas iaitu pada hari kesembilan Zulhijjah setiap tahun. Ia bermula pada waktu gelincir matahari (Zuhur) sehingga sebelum fajar (Subuh) pada hari ke-10 Zulhijjah.
  • Ada yang berpendapat perkataan Arafah berasal daripada pertemuan kembali Nabi Adam dan isterinya, Hawa yang diturunkan ke bumi berasingan dan akhirnya bertemu kembali di lembah yang kini dikenali sebagai Padang Arafah.
  • Malah, pendapat berbeza menyatakan ia berasal daripada peristiwa pertemuan Nabi Ibrahim dengan isterinya, Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail, yang sekian lama terpisah.

Malam 10 Zulhijjah / 24 September (Muzdalifah)

  • Selepas waktu Maghrib pada 9 Zulhijjah, jemaah haji akan memulakan pergerakan untuk bermalam (mabit) di Muzdalifah iaitu jarak sekitar lapan kilometer dari Arafah.
  • Jemaah akan berada di Muzdalifah hingga tengah malam dan mengutip batu untuk melontar Jamrah di Mina pada keesokannya.

Pagi 10 Zulhijjah / 24 September (Mina)

  • Jemaah segera beredar meninggalkan Muzdalifah menuju Mina untuk melaksanakan ibadat melontar Jamrah, iaitu melontar tujuh biji batu ke Jamrah Kubra sebagai simbolik mengusir syaitan.
  • Selepas bercukur kepala atau menggunting rambut (bertahlul), jemaah boleh menunaikan Tawaf Haji (menyelesaikan Haji) di Makkah, atau bermalam di Mina dan melaksanakan sambungan melontar tiga Jamrah (Sughra, Wusta dan Kubra).
  • Berada di Mina selama tiga hari atau sekurang-kurangnya dua hari untuk melontar Jamrah yang ditentukan. Jemaah haji akan mula melontar Jamrah Kubra selepas solat Isyak bermula jam 11 malam pada 10 Zulhijjah.
  • Pada 11 dan 12 Zulhijjah, iaitu hari Tasyrik, jemaah akan menyambung melakukan lontaran ketiga-tiga Jamrah selepas solat Isyak bermula jam 9 malam.

13 Zulhijjah / 27 September

  • Jemaah haji yang selesai melontar akan meninggalkan Mina untuk menuju ke Makkah bagi menyempurnakan ibadat haji dengan mengerjakan Tawaf Haji di Baitullah dan Saie di Mas'aa.
  • Ibadat Saie dilakukan dengan berlari anak atau berjalan cepat sebanyak tujuh kali perjalanan, dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah.
  • Jarak antara kedua-dua bukit ialah 405 meter. Ketika melintasi Bathnul Waadi, iaitu kawasan di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah, jemaah lelaki disunatkan untuk berlari-lari anak, manakala jemaah wanita berjalan pada kadar yang lebih cepat.
  • Sebaik selesai, jemaah melaksanakan Tawaf Wada' (Tawaf perpisahan) bagi menandakan penyempurnaan ibadat haji dan sebagai ucapan selamat tinggal sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Berita Harian X