Isnin, 21 September 2015 | 6:28pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Superintendan Helmi Aris (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis heroin dan syabu yang bernilai RM91,000.00 yang berjaya di rampas dalam sidang media di IPK Kedah. - Foto Danial Noordin

Polis tahan dua lelaki, rampas dadah bernilai RM91,000 di Jitra

ALOR SETAR: Polis Kedah menahan dua lelaki selepas sejumlah dadah jenis heroin dan syabu ditemui dalam kereta yang mereka naiki di Jitra, dekat sini, semalam.

Dua suspek berusia 23 dan 43 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri di kawasan letak kenderaan Taman Gemilang, Jitra kira-kira jam 7 malam.

Ketua JSJN Kedah, Superintendan Helmi Aris, berkata hasil serbuan itu, polis merampas 2.29 kilogram (kg) dadah jenis heroin dan 263 gram syabu, yang ditemui dalam but kereta jenis Toyota VIOS yang mereka naiki.

"Berdasarkan maklumat, kita percaya dadah dengan nilai keseluruhan RM91,000 itu dibawa suspek yang disahkan mempunyai rekod jenayah lampau, kemungkinan besar untuk pasaran sekitar kawasan berkenaan.

"Kedua-dua suspek yang disyaki aktif dalam kegiatan itu sejak kira-kira dua bulan lalu, kini direman hingga 27 September untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, Helmi berkata sepanjang tempoh tahun ini, JSJN Kedah melakukan tangkapan ke atas 10,696 individu kerana pelbagai kesalahan berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Sepanjang tempoh sama juga, kita rampas dadah jenis heroin sebanyak 72kg, selain 109kg ganja, 7.9 kg syabu, 6,194kg daun ketum dan 7,905 pil psikotropik, dengan nilai rampasan RM3.4 juta dan RM4.2 juta nilai sitaan," katanya.

21 dibaca
Berita Harian X