Isnin, 21 September 2015 | 1:35pm

Anzalna tamatkan zaman solo awal tahun depan


ANZALNA dan kekasihnya, Hanif Zaki rancang kahwin awal tahun depan. - Foto Instagram

KUALA LUMPUR: Menerusi program Apa Kata Malaysia kendalian Datuk Aznil Nawawi yang disiarkan malam tadi di saluran Astro, pelakon drama Memori Cinta Suraya terbitan Global Station mendedahkan yang dia bakal menamatkan zaman bujang awal tahun hadapan dengan cinta hatinya, Hanif Zaki.

Bererti selain Shah Iskandar dan pasangannya, Anzalna juga memilih untuk ke jenjang pelamin tahun hadapan selepas empat tahun bercinta. Dalam temubual yang dilakukan Aznil itu, Anzalna dan Hanif menjadi tetamu untuk program berkenaan. Anzalna dalam temubual itu, menyifatkan Hanif sangat penyabar.

"Hanif sangat memahami saya dan sentiasa meletakkan kepercayaan tinggi terhadap saya sekali gus membuatkan diri ini jadi selesa. Kami berkenalan dan bercinta sebelum saya jadi pelakon lagi," katanya.

Hanif pula berkata, soal perkahwinan semua sudah dalam perbincangan sesama keluarga.

"Insya-Allah, majlis tunang dan nikah akan diadakan pada tarikh sama. Bukan tidak mahu buat pada tarikh lain, tetapi jadual Anzalna yang padat. Saya faham. Majlis nikah, tunang dan resepsi kedua-dua pihak akan diadakan di Kuala Lumpur kerana keluarga kami menetap di sini," katanya.


ANZALNA dan kekasih bersama hos Apa Kata Malaysia, Datuk Aznil Nawawi. - Foto Instagram

Berita Harian X