Ahad, 20 September 2015 | 2:32am

EPL: Man City tumbang di Etihad


PEMAIN pasukan West Ham, Aaron Cresswell ketika cuba mengasak Kevin De Bruyne dari pasukan Manchester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Etihad. - Foto REUTERS

MANCHESTER: Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester City mencatat kekalahan pertama liga musim ini apabila tunduk 2-1 kepada West Ham, hari ini.

Ia kekalahan kedua berturut-turut Man City di Etihad dalam tempoh kurang seminggu selepas turut tewas pada kempen Liga Juara-Juara kepada Juventus, 15 September lalu.

Selepas membuka tirai jaringan seawal minit keenam perlawanan menerusi Victor Moses, West Ham menggandakan jumlah jaringan menerusi Diafra Sakho pada minit ke-31.

Gol tunggal Man City dijaringkan Kevin De Bruyne pada minit ke-45 +2.

Kemenangan melonjakkan kedudukan West Ham di kedudukan kedua liga, tiga mata di belakang Man City.

Sekalipun menguasai penuh perlawanan dengan lebih 70 peratus penguasaan bola terutama babak kedua, tiada tambahan jaringan mampu diledakkan tuan rumah.

West Ham sebelum ini sudah menewaskan dua kelab besar, Arsenal dan Liverpool.

Lebih mengecewakan, ia adalah perlawanan penuh pertama pemain yang baharu dibeli City, De Bruyne sejak tiba di Etihad.

Berita Harian X