Sabtu, 19 September 2015 | 10:51pm
PEMAIN JDT II, Shahril Ishak (kiri) di asak pemain LION XII, Muhammad Safuwan Baharudin (dua dari kiri) pada perlawanan Piala Malaysia, di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Piala Malaysia 2015: JDT, Pahang terus rentak kemenangan

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang meneruskan rentak kemenangan dalam kempen Piala AFC selepas menewaskan masing-masing pada perlawanan kedua Piala Malaysia 2015, malam ini.

JDT yang lebih bersemangat selepas mara ke peringkat separuh akhir Piala AFC mencatat kemenangan 3-2 ke atas ATM di laman lawan sekali gus menduduki tangga teratas Kumpulan selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut.

Penyandang juara, Pahang yang sedikit kecewa gagal mara ke peringkat seterusnya dalam Piala AFC sekalipun menang pada aksi kedua Kumpulan D menundukkan PKNS FC 2-0 di tempat lawan.

Pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi,itu, JDT begitupun diberikan tentangan sengit ATM sebelum mencatat kemenangan.

Membuka tirai jaringan pada minit ke-8 menerusi Marcos Antonio diikuti jaringan Mahali Jasuli pada minit ke-26.

Kapten JDT, Safiq Rahim melengkapkan gol ketiga JDT pada minit ke-51 sebelum pemain import ATM, Abdulafees Abdulsalam penalti pada minit ke-68 diikuti gol kedua pada masa kecederaan.

Satu lagi aksi Kumpulan B pula menyaksikan Perak mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sarawak di laman sendiri, Stadium Ipoh.

Gol tunggal Perak dijaringkan Bobby Gonzalez pada minit ke-63.

Pahang pula mencatat kemenangan menerusi gol yang dijaringkan Azamuddin Akil pada minit ke-59 dengan pemain import, Dickson Nwakaeme melengkapkan jumlah jaringan pada minit terakhir menerusi penalti.

Dalam aksi tunggal Kumpulan A malam ini, JDT II terpaksa akur selepas tewas kepada Lions XII 2-1 di laman sendiri.

Gol pertama Lions XII dijaringkan Safuwan Baharuddin pada minit ke-22.

Sekalipun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-71 menerusi Nicolas Delmonte menerusi penalti, gol kedua Safuwan pada minit-minit terakhir permainan mengecewakan tuan rumah.

Dalam pada itu, juara 32 kali, Selangor mencatat kemenangan pertama dalam aksi tunggal Kumpulan C selepas menewaskan T-Team 1-0 di laman lawan.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain import, De Paula pada minit ke-50.

Pada satu lagi aksi Kumpulan D, PDRM terpaksa akur berkongsi satu mata dengan Pulau Pinang selepas diikat 3-3.

Berita Harian X