Sabtu, 19 September 2015 | 10:10pm

Pelajar tingkatan empat lemas ketika selamatkan kawan


MAYAT mangsa ditemui di dasar sungai oleh Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, di Sungai Kampung Petai, Alor Gajah. - Foto Arifin Salleh

ALOR GAJAH: Seorang pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Dol Said lemas ketika cuba menyelamatkan rakannya di Sungai Kampung Petai di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah Penolong Penguasa Kanan Bomba R. Bajiyen berkata kejadian kira-kira 10.30 pagi itu berlaku semasa Mohd Razif Ramli, 16, dan lima rakannya memancing di sungai itu.

Semasa memancing, seorang rakannya Mohd Syamil Akmal, 16, mandi di sungai berkenaan tetapi dia mula lemas.

"Mangsa (Mohd Razif) yang melihat rakannya hampir lemas, bertindak terjun ke sungai itu untuk menyelamatkan rakannya. Tetapi dia akhirnya lemas dan rakannya dapat diselamatkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mayat Mohd Razif ditemui di dasar sungai itu kira-kira 2 petang tadi selepas kira-kira tiga jam operasi mencari dan menyelamat dilakukan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dengan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X