Sabtu, 19 September 2015 | 12:10am
PENGARAH Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Mawar Abdul Karim. - Foto Zunnur Al Shafiq
MAWAR (kiri) bersama kakitangannya berbincang mengenai rekaan yang terdapat di Butik Fareeda. - Foto Zunnur Al Shafiq
MAWAR menjahit salah satu rekaan tudung Fareeda. - Foto Zunnur Al Shafiq

Doakan saya dapat anak - Fizo Omar


MENYINGKAP sisi peribadi pelakon Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 30, ternyata beliau bersyukur dianugerahkan seorang isteri penyayang dan sangat memahami.

Kata Fizo, beliau dan isterinya, Mawar Abdul Karim, 26, juga sentiasa menyemarakkan hubungan cinta dengan menghabiskan masa bersama. Sesibuk mana pun, baik beliau mahu pun Mawar akan tetap mencari masa dan menetapkan waktu malam sebagai masa untuk diluangkan bersama keluarga.

Apabila diajukan pertanyaan berhubung cahaya mata, Fizo menyerahkan kepada ketentuan Tuhan.

"Siapa yang tidak mahukan zuriat tetapi ini soal rezeki dan terletak di tangan Allah untuk menentukannya dan sebagai manusia saya dan isteri hanya mampu berusaha ke arah itu.

"Mungkin belum rezeki kami. Lagipun kami baru mendirikan rumah tangga selama dua tahun dan masih dalam proses mengenali satu sama lain lagi.


FIZO Omar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya ada buat pemeriksaan kesihatan dan minta nasihat doktor bagaimana isteri saya boleh mempercepatkan kehamilan. Insya-Allah jika ada rezeki mungkin siapa tahu tahun hadapan kami diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata.

"Tidak dinafikan, kekangan masa antara penyumbang sukarnya seseorang isteri itu hamil namun ada orang yang lebih sibuk dari kami dan dikurniakan anak. Jadi sukar untuk menjawab pertanyaan sebegini," katanya kepada BH PLUS.

Jejaka kelahiran Kelantan itu berkata, beliau memang sudah bersedia dan berharap agar dikurniakan cahaya mata dalam tempoh terdekat dan meminta agar orang ramai mendoakan terbaik buatnya dan isteri.

Jika sebelum ini Fizo bersendirian, kini beliau bersyukur dengan kehadiran Mawar dalam hidupnya. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 10 November 2013.

Menariknya tentang ikatan cinta yang terjalin sebelum mendirikan rumah tangga, pelakon itu membuat kejutan apabila melamar Mawar di panggung wayang Cathay @e-curve, Damansara sambil disaksikan oleh pihak media pada 28 Oktober 2013.


FIZO Omar bersama isterinya, Mawar Abdul Karim. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sejak berumah tangga, nama beliau jarang menghiasi drama mahupun filem tempatan kerana sibuk memberi tumpuan kepada perniagaan dan Fizo mengakui cukup rindu dengan suasana di set penggambaran.

Pelakon filem Minyak Dagu ini juga menepis dakwaan sudah bersara dalam bidang lakonan dan menegaskan beliau masih berminat dalam bidang di mana kerjaya seninya bermula.

"Saya pun tak akan bersara terus untuk berlakon sebab itu minat saya. Cuma mungkin pada masa hadapan lakonan dan perniagaan akan diseimbangkan memandangkan tanggungjawab saya semakin banyak.

"Jangka masa jadual penggambaran yang lama adalah antara sebab saya perlu mempertimbangkan tawaran yang diberikan. Kalau dulu saya tidak mempunyai sebarang komitmen untuk berada di lokasi sehingga pagi namun kini saya perlu memikirkan isteri di rumah," kata Fizo.


FIZO Omar bersyukur dianugerahkan seorang isteri penyayang. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sementara itu, Fizo menolak gelaran jutawan meskipun perniagaan Hot Burger diusahakan beliau sudah melahirkan 100 usahawan di enam buah negeri. Fizo bertindak sebagai pembekal bahan mentah dalam projek rangkaian gerai burger itu.

"Saya membekalkan bahan menghasilkan burger seperti daging, sos dan sebagainya. Saya bekalkan semua bahan itu kepada belia atau individu yang berminat membuka gerai Hot Burger.

"Apa yang penting, modal dan gerai saya beri secara percuma. Tujuan utama saya adalah untuk membantu golongan belia selain berkongsi panduan berniaga secara mudah." katanya.

Fizo berkata, inisiatif menawarkan rangkaian gerai burger itu diperkenalkan selepas kajian lengkap dibuat mengenai prospek perniagaan itu.

26 dibaca
Berita Harian X