Jumaat, 18 September 2015 | 6:46pm

Liga M: Sarawak, Selangor dihukum gara-gara tindakan ganas penyokong

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tatatertib FAM mendenda RM80,000 ke atas Sarawak manakala RM31,250 kepada Selangor gara-gara tindakan ganas penyokong kedua-dua pasukan pada aksi Piala Malaysia 2014 dan Liga Super, baru-baru ini.

Selain denda wang, Sarawak juga terpaksa beraksi tanpa penonton di Stadium Negeri, Kuching untuk satu perlawanan.

Hukuman itu diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam mesyuaratnya, minggu ini.

Sarawak dikenakan hukuman itu kerana tindakan penyokong pasukan mereka yang membakar dan melontar mercun, suar dan bom asap ke kawasan persekitaran padang selain merosakkan kenderaan polis dan membaling batu ke bas pasukan pelawat.

Ia membabitkan tiga insiden dengan yang pertama direkodkan pada kempen Piala Malaysia 2014 membabitkan perlawanan bertemu Perak pada 30 Ogos tahun lalu, perlawanan Liga Super 2015 bertemu Perak pada 20 Jun 2015 dan perlawanan Liga Super 2015 bertemu FELDA United pada 27 Jun 2015.

Ketiga-tiga insiden itu berlaku di Stadium Negeri, Kuching.

"Persatuan Bola Sepak Sarawak didapati bersalah kerana kerana melanggar 'Artikel 70 para 1' dan 'Artikel 68 (c) & (e)' Kod Disiplin FAM 2015' (selepas ini disebut "Kod ini") bagi ketiga-tiga kes ini," kata FAM dalam satu kenyataan hari ini.

"Oleh demikian, Persatuan Bola Sepak Sarawak dikenakan hukuman denda sebanyak RM80,000 secara keseluruhan dan bermain 2 (dua) perlawanan tanpa penonton di gelanggang sendiri."

Selain itu, Persatuan Bola Sepak Sarawak turut diberikan amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Begitupun, Jawatankuasa memutuskan untuk mengguna pakai 'Artikel 35' Kod ini di mana Persatuan Bola Sepak Sarawak hanya dikenakan hukuman bermain tanpa penonton untuk satu perlawanan saja.

Namun jika kesalahan yang sama berulang di dalam perlawanan yang membabitkan pasukan Sarawak yang seterusnya dalam tempoh enam bulan, maka baki satu lagi perlawanan untuk hukuman bermain tanpa penonton tersebut akan dikuatkuasakan serta-merta terhadap perlawanan yang seterusnya di mana Sarawak adalah pasukan tuan rumah bagi perlawanan itu.

Begitupun, keputusan ini boleh dirayu.

Selangor dalam pada itu dikenakan denda kerana tindakan penyokongnya yang membakar dan melontar mercun dan suar ke kawasan persekitaran padang serta mempamerkan slogan menghina dan berunsurkan politik pada perlawanan Liga Super bertemu Pahang pada 4 Julai lalu.

"Persatuan Bola Sepak Selangor didapati bersalah kerana kerana melanggar 'Artikel 70 para 1 FAM Kod Disiplin 2015' (selepas ini disebut "Kod ini") bagi kedua-dua insiden."

"Atas kesalahan itu, Persatuan Bola Sepak Selangor didenda sebanyak RM26,250 atas kesalahan melanggar 'Article 70 para 1' Kod ini yang juga membabitkan kesalahan yang berulang ('Artikel 42' Kod ini) bagi insiden pertama (membakar dan melontar mercun dan suar ke kawasan persekitaran padang)."

Selain itu, Persatuan Bola Sepak Selangor turut didenda sebanyak RM5,000 atas kesalahan melanggar 'Article 70 para 1' Kod ini bagi insiden kedua (mempamerkan slogan menghina dan berunsurkan politik); dan diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama dengan jumlah keseluruhan hukuman denda yang dikenakan ke atas Persatuan Bola Sepak Selangor adalah sebanyak RM31,250.00.

Keputusan ini juga boleh dirayu.

Berita Harian X