Jumaat, 18 September 2015 | 7:55am

Wasatiyyah asas keharmonian pelbagai kaum

Hari ini pelbagai komplot dan tindakan dilakukan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan dan menghancurkan keharmonian serta keamanan yang dikecapi selama ini. Negara dikejutkan dengan insiden melampau memijak gambar pemimpin dalam suatu perhimpunan hujung bulan lalu. Tindakan itu tidak wajar dan ekorannya mencetuskan kemarahan orang ramai khususnya umat Islam di negara ini.

Mutakhir ini juga, keharmonian dalam kalangan penganut agama yang berbeza di Malaysia sedikit tercalar. Ini berlaku kerana ada pihak mahu mempolitikkan agama sama ada dalam kalangan penganut Islam atau bukan Islam. Dalam sebuah negara berbilang kaum, polemik mengenai agama harus diurus dengan berhemah dan cermat kerana perbincangan berkaitan agama mampu membakar perasaan semua pihak.

Menyuarakan pendapat dalam negara yang mengamalkan demokrasi adalah dibenarkan. Namun begitu, isu panas sewajibnya semua pihak berhati-hati dan mengambil pendekatan bijaksana (hikmah) demi kestabilan nasional. Malah, itulah yang dituntut oleh semua agama.

Berusaha dapat publisiti, pengaruh

Perpaduan adalah isu berpanjangan yang perlu dihadapi negara. Malaysia terkenal sebagai sebuah negara demokrasi yang memberi kebebasan kepada orang ramai menjalankan kegiatan dan menubuhkan organisasi tertentu sama ada dalam bidang politik, dakwah, kebajikan dan lain-lain. Malah, dalam kalangan masyarakat wujud pelbagai pertubuhan yang berusaha untuk mendapat publisiti dan pengaruh.

Situasi ini boleh mengundang perpecahan masyarakat terutama umat Islam dalam berbagai bidang kehidupan, menimbulkan keretakan sosial dengan pelbagai kritikan, tuduhan perang mulut antara satu dengan yang lain, fitnah dan tohmahan.

Sifat mazmumah telah digunakan sepenuhnya. Ini semua adalah gejala berbahaya yang boleh membawa tragedi lebih besar iaitu permusuhan dan perpecahan ummah, sekiranya dibiarkan, tidak ditangani dan dibendung. Sesungguhnya perpecahan dan permusuhan sesama Islam adalah terang-terang bertentangan dengan ajaran Islam yang menyuruh umatnya bersatu padu dan berpegang teguh dengan agama Allah SWT yang sebenar.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Berpeganglah dengan tali (agama) Allah dan janganlah berpecah belah. (Surah ali-Imran:103). Apa yang dimaksudkan dengan perpaduan ialah penyatuan tenaga, idea dan cita-cita dalam satu ikatan bersepadu. Islam sangat menggalakkan umatnya bersatu padu dan melarang berpecah belah, berselisih pendapat atau berlainan cita-cita.

Kepentingan perpaduan dalam masyarakat amat mustahak sekali, sama ada masyarakat kecil atau besar seperti keluarga, desa, daerah, negeri dan negara. Menurut falsafah masyarakat kita, sudah lama tertanam semangat perpaduan, kita warisi daripada mereka kata-kata 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.'

Penerimaan agama amalan Rasullah

Di negara kita, Islam adalah agama Persekutuan, manakala penganut agama lain bebas mengamalkan pegangan masing-masing. Penerimaan agama seperti ini adalah amalan yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat Baginda menurut Piagam Madinah. Orang bukan Islam menurut Piagam Madinah tidak terjejas kedudukan dan hak mereka sebagai rakyat Madinah.

Dokumen ini adalah bukti konkrit memperlihatkan bagaimana orang Islam dan bukan Islam dapat hidup bersama dan setiap orang menikmati hak masing-masing. Oleh itu nilai wasatiyyah tidak menghalang kerukunan hidup bersama orang Islam dan bukan Islam. Islam dengan jelas mengiktiraf hakikat kewujudan masyarakat majmuk sesebuah negara. Malah konsep kongsi kuasa seperti diamalkan di Malaysia tidak bercanggah dengan nilai wasatiyyah Islam.

Justeru, ia memberi impak yang cukup besar dalam kerukunan hidup di negara ini sejak mula Malaysia mengecapi kemerdekaan sehingga hari ini. Jelas sekali betapa pentingnya perpaduan menurut pandangan Islam.

Bagi menjamin kelangsungan dalam pembangunan negara, ia memerlukan kerjasama, tolong-menolong dan persefahaman semua lapisan masyarakat di negara.

Justeru, inilah kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak mempelopori pendekatan wasatiyyah yang membawa satu asas kukuh kepada keharmonian, menyayangi dan saling menghormati. Pendekatan ini berintipatikan kesederhanaan, keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan sebagai amalan hidup sama ada daripada peringkat rakyat mahupun kerajaan.

Berita Harian X