Khamis, 17 September 2015 | 10:10pm

Kes denggi terus meningkat, kementerian rancang gotong-royong mega


KEMENTERIAN Kesihatan merancang untuk mengadakan Gotong-Royong Mega serentak di seluruh negara berikutan peningkatan kes demam denggi. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan merancang untuk mengadakan Gotong-Royong Mega serentak di seluruh negara berikutan peningkatan kes demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata gotong-royong secara bersepadu itu melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi lain.

"Perbincangan lanjut mengenainya akan dilakukan, usaha dan kerjasama semua pihak dalam menjayakan Gotong-Royong Mega ini amatlah diperlukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes denggi di seluruh negara meningkat sebanyak 17 peratus iaitu 374 kes minggu lepas, menjadikan 2,604 kes berbanding 2,230 kes pada minggu sebelumnya.

"Peningkatan kes yang berlaku pada minggu lepas adalah isyarat amaran kepada kita semua untuk terus meningkatkan aktiviti pencegahan denggi dan sentiasa memastikan persekitaran kita bebas daripada tempat pembiakan Aedes," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kumulatif kes demam denggi di seluruh negara dari Januari hingga 12 September, adalah 85,488 kes berbanding 70,337 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Sementara, bagi kematian akibat denggi, jumlah kumulatif kematian sehingga 12 September adalah sebanyak 234 kematian, berbanding 133 kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas iaitu peningkatan 75.9 peratus.

- BERNAMA

13 dibaca
Berita Harian X