Khamis, 17 September 2015 | 5:43pm

Mahkamah Tinggi kekal penjara setahun, denda ke atas 2 bekas pengarah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara setahun dan denda RM300,000 terhadap dua bekas pengarah bukan eksekutif pengendali perkhidmatan kargo udara Transmile Group Bhd bagi kesalahan memberikan pernyataan mengelirukan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd berhubung syarikat itu, lapan tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Chin Keem Feung, 50, dan Shukri Sheikh Abdul Tawab, 51, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu.

Dalam penghakimannya, Mohd Azman berkata, pertuduhan terhadap tertuduh (perayu) adalah betul dan tidak cacat selain intipati pertuduhan juga dibuktikan oleh saksi pendakwaan.

Beliau berkata, pembelaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

"Mahkamah berpendapat, dapatan dan sabitan oleh Hakim Mahkamah Sesyen adalah selamat untuk dikekalkan. Oleh itu rayuan perayu ditolak," katanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Shamsul Sulaiman dan NS Guok, yang masing-masing mewakili Chin dan Shukri untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Pada 28 Oktober 2011, Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Jagjit Singh Banth Singh menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM300,000 terhadap Chin dan Shukri selepas didapati bersalah memberikan pernyataan yang mengelirukan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd berhubung syarikat itu.

Mereka didakwa dengan sengaja mengesahkan pernyataan mengelirukan itu, yang mengandungi laporan suku tahun syarikat berkenaan berhubung hasil-hasil disatukan yang tidak diaudit bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2006.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini pada 15 Februari 2007 mengikut Seksyen 122B(b)(bb) Akta Sekuriti Industri 1983 (Akta 280) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 122B akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Shanti Geoffrey. - BERNAMA

27 dibaca
Berita Harian X