Khamis, 17 September 2015 | 2:14pm

Najib terima sumbangan 534 lembu korban untuk Parlimen Pekan


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama wakil-wakil syarikat yang telah menyumbangkan sejumlah 534 ekor lembu korban pada majlis akad penyerahan oleh wakil syarikat terbabit di Perdana Putra, Putrajaya. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini menerima sumbangan sebanyak 534 lembu korban daripada 15 syarikat untuk sambutan Aidiladha di Parlimen Pekan.

Sumbangan itu disampaikan dalam satu majlis akad penyerahan oleh wakil syarikat terbabit di Perdana Putra, di sini.

Antara syarikat terbabit ialah Sapura Holdings Sdn Bhd yang menyumbang sebanyak 128 ekor lembu, NAZA Group (75), DRB-HICOM Berhad (50), WZR Property Sdn Bhd (30), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (30) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (28).

Turut menyampaikan sumbangan ialah Roadcare (M) Sdn Bhd iaitu sebanyak 28 ekor, HeiTech Padu Berhad dan Nukima Sdn Bhd (20), GBP Corporation Sdn Bhd (20), AJ Aeroservices Sdn Bhd (20) dan Kini Unggul Sdn Bhd (15).

Lembu berkenaan akan disumbangkan kepada masjid, surau, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan ibadah korban di Parlimen Pekan.

Umat Islam di negara ini akan menyambut Aidiladha pada 24 September ini. - BERNAMA

Berita Harian X