Khamis, 17 September 2015 | 12:08am
PERWARIS ke empat kedai Dobi PVM, PVM Magendraraijan, 36 (kanan) bersama dengan pekerjanya melipat kain dhoti penlanggannya. - Foto Ramdzan Masiam
SALAH seorang pekerja melintasi beratus-ratus pakaian yang telah siap di jemur dengan mengunakan tali yang dipintal sebagai penyepit pakaian di kedai dobi di perkampungan India di Solok York. - Foto Ramdzan Masiam
BERATUS ratus pakaian yang siap dibasuh cara tradisional dan moden dijemur di kawasan lapang. - Foto Ramdzan Masiam
PAKAIAN yang siap dibasuh cara tradisional dan moden dijemur di Dhoby Ghau. - Foto Ramdzan Masiam
MEREKA dikatakan diketuai oleh seorang matron dobi, secara umumnya dikenali sebagai Ranee Dhoby, yang bermaksud "ratu dobi". - Foto Ramdzan Masiam

Waris Kampung Dobi Ghaut


GEORGETOWN: Pada zaman moden ini, kaedah mendobi pakaian secara tradisional mungkin dilihat pelik serta tidak masuk akal, terutama kepada anak muda yang membesar di kotaraya.

Bagaimanapun, siapa sangka perusahaan dobi secara tradisional ini masih mendapat tempat di hati pelanggan setianya, walaupun pelbagai perkhidmatan pusat dobi ditawarkan sama ada cucian harian atau secara layan diri.

Di Pulau Pinang, perusahaan dobi tradisional ini masih boleh ditemui Kampung Dobi Ghaut yang terletak di Jalan Air Hitam dan Jalan York di bandaraya Georgetown. 

Daerah dobi

Kampung Dobi Ghaut adalah sebuah perkampungan yang menempatkan lebih 150 pengusaha perkhidmatan dobi secara tradisional di Georgetown, Pulau Pinang sejak negara belum mencapai kemerdekaan. Ia juga turut digelar 'Vannan Thora Tedal' atau daerah dobi oleh penduduk setempat.

Perniagaan yang dikatakan bermula sejak lebih 100 tahun lalu itu tidak banyak berubah, malah cara dan peralatan yang digunakan masih kekal sama iaitu kain dibasuh menggunakan tangan dan digosok menggunakan seterika lama. 

Bagaimanapun, bilangan pengusaha dobi di kampung berkenaan semakin berkurangan berbanding dahulu dan kini dipercayai hanya tinggal 13 keluarga yang masih meneruskan perkhidmatan tradisi itu.

Bagi pengusaha dobi, PVM Magendrarajan, 36, pada tahun 1970-an, terdapat lebih 150 orang yang menyediakan perkhidmatan dobi di kampung itu.

"Tetapi kini hanya tinggal 13 keluarga yang menjalankan perniagaan ini kerana ramai yang sudah meninggal dunia atau berpindah ke tempat lain," katanya yang juga waris keempat perusahaan dobi PVM Enterprise.


BERATUS-ratus pakaian yang siap dibasuh cara tradisional dan moden dijemur di kawasan lapang, Kedai dobi India di Dhoby Ghaut telah beroperasi di sini sejak zaman permulaan sejarah Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

Warisi perniagaan keluarga

Magendrarajan yang menjalankan perniagaan berkenaan secara separuh masa berkata, beliau tidak berasa terbeban atau malu kerana

mencuci pakaian tanpa menggunakan mesin basuh malah berbangga kerana masih dapat mengekalkan tradisi keluarganya.

"Semasa kecil, memang saya ada rasa malu kerana terpaksa menolong ayah menjalankan perniagaan ini. Sehingga saya bertekad tidak akan mewarisi perusahaan ini. Tetapi semuanya berubah apabila ayah meninggal dunia. Saya rasa bertanggungjawab dan tidak malu lagi," kata anak kelima daripada 15 beradik ini.

Kebiasaannya Magendrarajan yang dibantu enam lagi pekerjanya akan memulakan perniagaan seawal jam 8 pagi dan meneruskan kerjanya sehingga 7 malam setiap hari.

Hotel pelanggan tetap

Menceritakan operasi hariannya, Magendrarajan berkata bungkusan pakaian akan dikira, diasingkan serta dilabel mengikut jenis kain sebelum dimasukkan ke dalam satu daripada dua kolah air untuk direndam, dibilas dan dicuci tanpa bantuan mesin.

"Pakaian yang dicuci kemudian dijemur di ampaian panjang dan diangkat menjelang petang, tetapi bergantung kepada keadaan cuaca. Jika cuaca hujan dan lembab, kami terpaksa juga menggunakan mesin pengering.

"Setiap hari kami menerima pakaian dengan purata sehingga 50 kilogram (kg). Kami juga biasanya mengambil masa dua hari bagi mencuci pakaian dan ia diserahkan kepada pelanggan seminggu kemudian.

"Kami juga mengenakan antara RM2 hingga RM8 untuk setiap pakaian, bergantung kepada jenisnya. Jika kain sutera atau jeans, ia akan menjadi sedikit mahal kerana lebih rumit untuk dicuci," katanya.

Selain mengambil upah mencuci pakaian pekerja restoran, pelanggan tetap Magendrarajan yang lain adalah syarikat perhotelan, pekerja di syarikat swasta, orang awam serta kenalan.


DUA pekerja dobi mengunakan cara tradisional dan moden untuk membasuh pakaian pelanggan di kedai dobi di perkampunagan Dhoby Ghaut, Solok York. - Foto Ramdzan Masiam

Air sungai kotor

Di sebalik perkhidmatan diusahakannya, Magendrarajan meluahkan perasaan terkilan kerana sumber air sungai yang digunakan sepenuhnya bagi mencuci pakaian tercemar berikutan pembangunan di sekitar kawasan terbabit.

"Sejak kecil, saya melihat keluarga dan jiran yang mengusahakan perkhidmatan ini akan ke sungai setiap pagi bagi mencuci pakaian pelanggan dan suasana sungguh meriah dengan gurau senda serta bunyi kocakan air ketika pakaian dibasuh.

"Kini semuanya tiada lagi sejak beberapa tahun lalu. Saya bimbangkan masa depan dobi tradisional ini kerana peredaran zaman boleh membuatkannya terkubur," katanya.

27 dibaca
Berita Harian X