Rabu, 16 September 2015 | 8:54am

Pertahan prinsip Perlembagaan Persekutuan

KITA sudah begitu sinonim dengan sifat ketertiggian atau sifat keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan yang menjadi rujukan utama perundangan ini bukan sahaja asas kepada perundangan, tetapi ia juga menjadi asas kepada pembinaan negara, hala tuju dan ideologi negara.

Pendek kata, Perlembagaan adalah dokumen yang membina negara. Oleh itu, sudah semestilah ia dinobatkan sebagai undang-undang tertinggi negara. Dalam memahami prinsip ketertinggian Perlembagaan itu, hendaklah juga diraikan sebab atau kepentingan untuk kita menyanjungi dan memartabatkan sifat keluhuran Perlembagaan.

Kita hendaklah sentiasa memegang konsep bahawa Perlembagaan adalah dokumen utama pembinaan negara. Dalam membina negara, sudah tentu ada hala tuju yang mahu dibawa oleh Perlembagaan dan sudah semestinya ada hasrat tertentu yang mahu dicapai oleh Perlembagaan. Ringkasan kepada hala tuju dan inspirasi negara ini telah dimaktubkan dalam bentuk Rukun Negara.

Namun begitu, adakah Perlembagaan itu benar-benar undang-undang tertinggi negara dan segala isinya juga dijamin akan kekal selamanya? Hakikatnya ialah Perlembagaan boleh dipinda sekiranya syarat-syarat prosedur pindaan dipenuhi. Sokongan dua pertiga majoriti Ahli Parlimen, Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan membolehkan Perlembagaan dipinda.

Kekal prinsip asas

Yang di-Pertuan Agong pula tidak lagi mempunyai ruang untuk menyemak keputusan dua pertiga ahli Dewan itu; kecuali dalam beberapa perkara yang hanya boleh dipinda dengan perkenan daripada Majlis Raja-Raja. Seperti peruntukan 10(4), undang-undang yang diluluskan dengan punca kuasa 10(4), peruntukan berkaitan kewarganegaraan, peruntukan mengenai Majlis Raja-Raja, kedudukan negeri-negeri, sekatan kepada kebebasan Parlimen berkaitan Akta Hasutan, kebebasan Dewan Undangan Negeri, bahasa Melayu dan perkara 153, iaitu peruntukan berkaitan keistimewaan Melayu, keistimewaan anak negeri dan kepentingan sah kaum lain. (Lihat Perkara 153)

Oleh itu, secara realistiknya sifat ketertinggian Perlembagaan itu boleh dicairkan dengan sokongan dua pertiga majoriti Ahli Parlimen.

Dalam keputusan kes Sivarasa, Yang Arif Gopal Sri Ram pernah meletakkan konsep struktur asas Perlembagaan. Konsep ini secara umumnya ialah, meletakkan syarat substantif dalam pindaan Perlembagaan. Maksudnya di sini, Gopal Sri Ram mencadangkan bahawa, ada peruntukan tertentu dalam Perlembagaan itu yang tidak boleh dipinda, walaupun syarat prosedur pindaan, sokongan dua pertiga itu telah diperoleh. Prinsip yang diterima oleh Gopal Sri Ram ini telah dijadikan prinsip Perlembagaan di India sejak lama dahulu, yang mana Parlimen tidak boleh meminda struktur-struktur penting dalam Perlembagaan, seperti sifat sekular negara.

Walaupun begitu, teori struktur asas Perlembagaan yang diterima dalam kes Sivarasa ini belum lagi diraikan atau ditolak oleh mana-mana keputusan mahkamah yang lain. Ia tidak dikatakan betul atau tidak juga dikatakan salah walaupun mahkamah sebelum itu telah beberapa kali menolak pemakaian prinsip ini. Oleh itu, dalam keadaan semasa, bolehlah dikatakan bahawa prinsip struktur asas ini menjadi sebahagian daripada prinsip yang perlu kita teroka.

Elak sokong pinda Perlembagaan

Sekiranya kita tidak menerima prinsip atau teori struktur asas ini, kita perlu memikirkan cara untuk mengekalkan prinsip asas yang menunjangi Perlembagaan-prinsip Persekutuan seperti ada dalam Rukun Negara dan juga elemen tradisi serta prinsip lain yang menunjangi faham Perlembagaan.

Sekiranya kita hanya berharap kepada konsep ketertinggian Perlembagaan semata-mata, maka kita mungkin akan menghadapi situasi kritikal sekiranya pindaan kepada Perlembagaan bersifat revolutionary yang meminggirkan struktur asas pembinaan negara merdeka ini.

Oleh itu, amat penting untuk semua Ahli Parlimen memahami asas pembinaan negara ini seperti yang dimaktubkan dalam Perlembagaan. Ahli Parlimen tidak boleh menyokong, memberi undi dan meluluskan mana-mana Rang Undang-Undang yang tidak bertepatan dengan hala tuju dan inspirasi negara. Ahli Parlimen tidak boleh membiarkan Rang Undang-Undang yang menyanggahi prinsip pembinaan negara.

Walaupun tidak ada apa-apa peruntukan Perlembagaan yang boleh menghalang pindaan Perlembagaan, kecuali kehendak prosedur, Ahli Parlimen, dalam mengekalkan falsafah dan hala tuju negara seperti dihasratkan oleh Perlembagaan hendaklah bukan sahaja mengetahui, tetapi menghayati kepentingan prinsip-prinsip asas kenegaraan yang kita mahu capai dan yang telah kita maktubkan Perlembagaan serta yang telah kita ringkaskan dalam Rukun Negara. Ahli Parlimen adalah penjaga utama kepada keluhuran Perlembagaan.

Penulis ialah Felo Utama Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X