Rabu, 16 September 2015 | 12:03am

Cabaran hidupkan Jikey


CHAHOR (tiga dari kanan barisan kedua) dan Zaharul bersama penggiat seni Jikey pada majlis Pratonton Persembahan Tradisional Jikey di UPSI. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

SENI tradisi Melayu khususnya Jikey, iaitu persembahan kebudayaan yang menggabungkan muzik, nyanyian, tarian dan lakonan berdepan tanggapan negatif masyarakat bahawa seni tradisional itu mundur dan tidak relevan dengan zaman ini.

Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Zaharul Lailidin Saidon, berkata senario itu memberi cabaran besar kepada penggiat seni tradisional dalam menghidupkan semula Jikey yang berasal dari utara tanah air.

"Kalau disebut tradisional, apa yang terbayang dalam fikiran kebanyakan masyarakat terutama generasi muda ialah sesuatu yang terkebelakang, mundur atau uzur.

"Pandangan salah ini perlu diperbaiki, bukan sahaja untuk memastikan wujud kesinambungan seni tradisi seperti Jikey, bahkan ia sebenarnya elemen penting dalam memupuk semangat dan jati diri individu," katanya pada Majlis Pratonton Persembahan Jikey bersama Media di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI, Tanjung Malim, baru-baru ini.

Persembahan itu sebahagian daripada Bengkel Pelestarian Kesenian Tradisional Jikey anjuran Persatuan Penggerak Warisan Seni dan Budaya Negeri Kedah (AKRAB) yang berlangsung selama dua hari di UPSI.


SALAH satu watak dalam persembahan Jikey.

Garapan baik, suntikan popular

Zaharul Lailidin berkata, Jikey perlu dipelihara kerana kekayaan budaya itu menjadi aset penting yang boleh dipertontonkan di pentas dunia.

"Kita mempunyai banyak produk sebegini. Apa yang penting ialah ia perlu digarap dengan baik, selain disuntik elemen popular bagi mendekati generasi muda masa kini.

"Tidak rugi memberi tumpuan kepada seni tradisi sebegini, malah negara maju seperti Jepun dan Korea mementing kan bahasa dan peradaban walaupun menjadi pelopor kemajuan dunia," katanya pada acara yang turut dihadiri penggiat Jikey, Chahor Saad dan Eksekutif Pengurusan Program Jabatan Pelaburan Sosial dan Korporat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Zahari Hamzah.

Sementara itu, Chahor berkata, usaha UPSI dan PETRONAS dapat membantu menyemarakkan Jikey, selain memperkenalkannya kepada generasi muda masa kini yang asing dengan seni persembahan berkenaan.

"Kebanyakan pemain Jikey kini sudah berusia, justeru jalinan di antara AKRAB, UPSI dan PETRONAS dalam menyebar luas seni ini adalah sangat baik.

"Bagi saya, tidak salah Jikey diberi suntikan baharu mengikut kesesuaian zaman ini sekiranya ia dapat memastikan seni ini terus berkembang," katanya.

Berita Harian X