Selasa, 15 September 2015 | 7:00am

Transformasi UiTM ke arah pengiktirafan dunia

Peningkatan interaksi dan integrasi ekonomi, politik, budaya, sosial dan elemen intelektual yang melanda seluruh dunia memberi kesan besar terhadap Universiti Teknologi MARA (UiTM). Institut keramat ini semakin matang mendepani pelbagai cabaran, untuk terus menjadi entiti pendidikan tinggi terulung di Malaysia.

Perubahan landskap ekonomi memberi kesan kepada taraf sosioekonomi Bumiputera menuntut supaya UiTM melalui proses perkembangan yang begitu progresif dan dinamik melangkaui lima dekad lalu. UiTM sentiasa responsif dengan tuntutan dan keperluan dalam lingkungan semasa.

Untuk UiTM berdaya saing dalam dan luar negara serta terus relevan, maka Program Transformasi UiTM dilaksanakan untuk mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), menghadapi cabaran dan mengoptimumkan peluang baharu serta melonjak ke tahap nilai tambah bagi peningkatan kecemerlangan dan menjuarai kelestarian bangsa.

Dengan cogan kata 'Menjuruterai Destini, Menjuarai Legasi', usaha mentransformasikan universiti ini dilakukan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada agenda bangsa dan negara.

Selain itu, ia menyumbang ke arah melahirkan masyarakat maju, bersatu padu dan saksama dengan tahap kehidupan tinggi untuk semua. Menjuruterai Destini dipilih kerana 'Menjuruterai' berasal daripada perkataan jurutera, merangkumi tiga kekuatan utama iaitu keilmuan, kebijaksanaan dan kemahiran yang menyumbang kepada kemakmuran masyarakat. Destini pula merujuk kepada pencapaian matlamat strategik UiTM menjadi universiti tersohor menerusi agenda Keusahawanan Berintensifkan Penyelidikan.

Autonomi mentadbir sendiri

Melalui program transformasi ini, maka diwujudkan 13 universiti (UiTM) di 13 negeri, diketuai rektor yang diberi autonomi mentadbir sendiri. Melalui cara ini, setiap cawangan kampus UiTM boleh berkembang sendiri dan dalam tempoh lima tahun, boleh menilai ranking atau kedudukannya berbanding universiti lain di seluruh dunia. Program Transformasi UiTM dirangka bagi melonjakkan kecemerlangan dan memastikan kelestarian universiti. Empat komponen utama ialah organisasi (O), modal insan (M), proses (P) dan teknologi (T).

Agenda ini diterjemahkan menerusi 16 program transformasi merangkumi 65 projek. Program ini membabitkan semua peringkat pengurusan universiti. Menerusi transformasi modal insan pula, UiTM akan mempunyai modal insan dinamik dan terkehadapan berteraskan keluhuran nilai, budaya dan agama dalam mendukung misi melahirkan graduan yang menepati keperluan negara.

Dengan alumni seramai 631,816 orang dan dianggotai 18,264 kakitangan akademik dan pentadbiran, serta 168,865 mahasiswa menawarkan 485 program akademik, UiTM muncul sebuah daripada universiti terbesar di rantau ini, bukan sekadar memiliki sumber fizikal dan tenaga manusia, tetapi juga satu-satunya universiti menghasilkan modal insan terbesar demi kemakmuran negara.

Transformasi proses membolehkan UiTM beroperasi lebih cekap dan berkesan dalam ekosistem pendidikan tinggi berorientasikan kecemerlangan akademik menerusi perkongsian pintar bersama industri dan masyarakat. Melalui transformasi teknologi, UiTM akan diperkasakan dengan sistem sokongan mantap dan berinovasi ke arah mencapai pengiktirafan dunia.

Terap minda berpelajaran

Kejayaan agenda transformasi UiTM adalah bersandarkan kepada 3K iaitu Kesedaran, Kemahiran dan Komitmen daripada seluruh warga. Melalui program ini, UiTM menerapkan ke dalam diri warganya minda berpelajaran. Namun, yang lebih penting selepas anjakan paradigma ini, UiTM perlu meletakkan sasaran menjadi cemerlang dalam kalangan terbaik. Sewajarnya graduan UiTM perlu berterima kasih dan bersyukur atas nikmat yang diperoleh di menara gading ini. Dengan itu lahirlah warga UiTM yang dapat memenuhi tanggungjawab lebih mencabar dengan tenang, ikhlas dan jujur serta menginsafi bahawa setiap kejayaan kerana jasa dan pengorbanan pejuang dan pemimpin terdahulu.

Justeru, setiap warga UiTM, mestilah menghayati kembali asal usul sejarah dan falsafah penubuhan UiTM iaitu: "setiap individu mampu mencapai kecemerlangan melalui pemindahan ilmu serta penerapan nilai murni, agar menjadi graduan profesional, yang berupaya mengembangkan ilmu dan membangunkan diri, masyarakat dan negara".

Jika hasrat ini terlaksana, maka semangat dan roh serta misi UiTM Menjuruterai Destini, akan dapat Menjuarai Legasi. Oleh itu, Menjuruterai Destini dalam program transformasi ini perlu dihayati dan dijiwai semua warga UiTM. Komitmen daripada segenap lapisan warga universiti diperlukan dan UiTM akan meneruskan tradisi kecemerlangan dan keunggulan tanpa mengetepikan misi teras agenda Bumiputera.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Tekologi MARA

92 dibaca
Berita Harian X