Selasa, 15 September 2015 | 12:07am

Tasha mahu berubah tanpa dipaksa


KUALA LUMPUR: Sekadar menyebut beberapa nama artis seperti Rozita Che Wan, Nabila Huda, Sharnaaz Ahmad dan Neelofa, Tasha Shilla juga tak ketinggalan dihambat kontroversi daripada satu kisah ke satu siri episod yang lain.

Jadi tidak hairan pelakon yang mula dikenali menerusi drama Gemilang di TV3 itu pernah mendapat jolokan sebagai Ratu Kontroversi.

Kemuncak kepada dirinya menjadi sasaran kontroversi ialah sejak kemenangan pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011 dalam kategori Artis Baru Wanita Popular. Daripada kisah dirinya ditaja seseorang bergelar Datuk J, memiliki kereta mewah, mengundi diri sendiri pada ABPBH, menari tiang di sebuah kelab, persengketaan dengan Neelofa, kisah cinta bersama pemain Harimau Malaya, Mahali Jasuli mula bertebaran.


TASHA Shilla bersama penerbit syarikat Zeel Production, Fadzil Teh.

Namun pada suatu ketika di saat popularitinya dikatakan kononnya merudum, pelakon yang pernah dikatakan mirip penyanyi seberang, Krisdayanti pernah senyap seketika tanpa kontroversi. Sangkakan ia akan berakhir di situ, Tasha kembali berdepan dengan pelbagai episod sarat kontroversi yang tak terduga.

Tasha, 29, kembali hangat dengan kontroversi demi kontroversi. Sekadar mengimbas, bukan sahaja sisi peribadinya yang menjadi perhatian, kisahnya membuat pembedahan hidung dan payudara juga terpalit sama. Selepas Mahali, kisah peribadinya dengan peninju Muay Thai, Han Chen Wong juga turut menjerut dirinya termasuklah dikatakan berkelakuan sumbang di set penggambaran.

Tak hanya di situ, plot cerita membabitkan Kaka Azraff yang dikatakan menjadi punca keretakan cinta antara pelakon bermata redup itu dengan Han turut menjadi perbualan hangat. Bagai jatuh ditimpa tangga, reputasinya pernah tercalar gara-gara laporan sebuah program hiburan di televisyen yang mengaitkan namanya dengan isu gadis peneman atau 'escort girl'.

Baru-baru ini termometer Tasha panas lagi apabila timbul isu penyebaran gambar separuh bogel yang didakwa miripnya selain insiden serangan yang kononnya dilakukan Tasha terhadap bekas kekasihnya, Han di sebuah kelab hiburan. Tasha sekali lagi diselar ramai pihak termasuk golongan Netizen kerana berpakaian seksi serta 'daring' kebelakangan ini.

Pertemuan yang diatur BH Plus bersama Tasha ditemani ibunya selain dihadiri teman penerbit syarikat Zeel Production, Fadzil Teh baru-baru ini di pusat beli belah, Pavilion membuka peluang untuk bertanyakan apa sebenarnya yang terjadi kepadanya. Semakin hari semakin menjadi-jadi pula kisah dirinya.

"Saya masih okey!," ungkap Tasha menjawab kepada persoalan beberapa teman yang mengenalinya cukup risau dengan keadaan dirinya kebelakangan ini yang dilihat seperti semakin berani mati, tak waras dan tertekan.


TASHA Shilla pernah mendapat jolokan sebagai Ratu Kontroversi.

Menjelaskan keadaannya seperti sedia kala, Tasha memberitahu keluarganya lebih tahu siapa dirinya yang sebenar.

"Saya sudah mempersiapkan diri daripada aspek fizikal dan mental sebelum masuk ke persada seni lagi. Keluarga saya sedia maklum mengenai anak mereka. Cuma dengan apa yang terjadi dan berbangkit kebelakangan ini, saya sendiri tak mampu menjangka. Tak pernah terlintas langsung untuk saya mencipta publisiti murahan atau sensasi berterusan.

"Benar segala tohmahan dan cacian boleh kata berbakul-bakul saya terima. Cukup antara diri sendiri dan keluarga tahu apa yang saya lalui serta keadaan terkini. Baik dan buruk pandangan masyarakat terhadap diri ini saya terima dengan hati terbuka. Biarlah saya berubah suatu hari nanti kerana Allah Taala. Saya harap pengertian orang di luar sana dan mendoakan yang baik-baik sahaja.

"Saya anggap ini mahu atau tidak menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya. Orang sudah kenal saya sebagai Tasha Shilla. Jadi pastinya setiap gerak geri dan apa sahaja mengenai saya, orang nak ambil tahu.

"Tetapi apabila kita jadi diri sendiri, orang mula skeptikal dan salah faham. Sepatutnya kenalilah diri sendiri dahulu sebelum nak kenal orang lain atau sebelum nak nasihat orang, tengok dahulu diri sendiri," katanya.

Ditanya apakah Tasha ketika ini cuba menyerlah serta menunjukkan sisi dirinya yang sebenar, pelakon drama Rindu Bertamu di Abu Dhabi itu melihat ia sesuatu yang subjektif untuk dirungkaikan. Malah dengan rendah hati, Tasha juga memohon pengertian ramai dan dengan rendah hati memohon maaf andai keterbukaan dan sikap dirinya mengguris hati ramai yang memandang.

"Susah nak cakap semua ini. Kadang kala kita cuba untuk menjadi diri sendiri. Kita sudah rasa diri ini sudah menjadi diri sendiri tapi orang yang memandang mungkin memikirkan sebaliknya. Dalam hidup ini kita tak boleh nak puaskan hati semua orang. Cuma sekarang ini saya selesa begini, saya harap terimalah diri ini seadanya.

"Saya menerima komen semua termasuk di laman Instagram dengan hati terbuka. Sama-sama doa yang terbaik dan janganlah bergaduh di laman sosial kerana hal sebegini. Bagi saya prinsip diri, masuk telinga kanan... keluar telinga kiri terutama hal yang negatif. Saya ambil aura yang positif sahaja. Saya kini banyak membaca buku atau madah bermotivasi selain mencarinya di laman internet.

"Ibu saya contohnya selalu pesan, biar orang buat kita tapi kita jangan berdendam atau balas semula apa yang mereka lakukan. Malah ibu serta datuk saya cakap, setiap kehidupan ini akan melalui pelbagai fasa. Setiap pandangan dan pemikiran kita berlainan pemahamannya terhadap sisi kehidupan. Kita dan orang lain takkan sama haluan atau pemahamannya. Orang di luar sana biasalah pantas menghukum itu dan ini. Itulah namanya hidup," katanya.

Bagi Tasha sebagai manusia biasa yang tak pernah lari daripada melakukan kesilapan, dia enggan memberi komen mendalam dan lebih jauh membabitkan hal agama. Diaju apakah perubahan dirinya ini dilihat seperti memberontak dalam diri dek tekanan yang bertalu-talu, Tasha percaya mungkin hal itu ada kebenarannya tetapi dia tidak mahu terlalu larut dengan perasaan sendiri.

"Saya tak tahu nak cakap, tetapi saya hanya manusia biasa yang tak sempurna. Senjata saya kini ialah doa yang terbaik. Kalau boleh saya tak mahu komen lebih mengenai hal membabitkan agama. Benar kita ada pegangan agama, tetapi biarlah ia terus menjadi rahsia saya dengan Yang Satu. Keluarga dan adik beradik menjadi nadi kekuatan saya.

"Beri saya masa. Jangan harap saya akan berubah sekelip mata. Biar saya berubah tanpa paksaan sesiapa tetapi dengan izin-Nya. Macam saya selalu cakap berkali-kali, kita tak mampu nak memuaskan hati atau kehendak orang. Cukup saya sayangi diri sendiri dan keluarga," katanya.

Sebagai manusia biasa juga, Tasha tak mampu menipu dirinya yang siri kontroversi menerjah terhadapnya masih memberi kesan termasuk emosi. Katanya, dia juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan.

"Kalau nak kata saya tak terkesan dengan apa yang terjadi memang tipulah. Saya artis... manusia juga. Kadang-kadang saya hampir terlupa yang diri ini artis. Niat saya berlakon ini sebab minat bukan sebab nak jadi artis dan hadap gila glamor. Kalau ada orang cakap kita itu dan ini, pasti terbit rasa kecewa dan hampa. \

"Tapi saya selalu fikir positif. Malah di usia sekarang, 29 tahun... saya masih tinggal dengan keluarga. Jadi memang keluarga tahu saya ini orang bagaimana," katanya yang kali pertama ke layar perak menerusi filem Ratu The Movie.

Mungkin boleh komen sikit hal berkaitan bekas kekasih (Hans)?

"Saya rasa tak perlu untuk saya komen lagi. Yang lepas itu biarlah ia pergi. Saya nak fikir ke hadapan. Cuma sekali lagi saya nak minta maaf kepada semua, andai ada salah silap saya selama ini,"katanya.

Bagaimana pula dengan imej diri yang kian seksi dan daring kebelakangan ini? Tasha sebelum ini dilihat tak begitu seksi. Jadi tak pelik perubahannya itu mula mendapat reaksi negatif.

"Saya tak lihat itu sebagai seksi. Seksi kan sangat subjektif?. Orang mungkin nampak saya seksi. Tetapi saya tak nak komen panjang hal ini. Semua atas paksi saya gemar berfesyen. Sekali lagi, saya tak mahu kaitkan agama dalam hal ini. Saya buat ini juga kerana kerjaya. Saya kebelakangan ini juga kerap tampil bukan sahaja acara hiburan tetapi fesyen. Jadi memang saya perlu berfesyen," katanya.

Mengenai dunia lakonan, Tasha masih ingin berlakon. Cuma saat ini, dia memilih untuk memperlahankan rentak seni dengan berehat seketika.

"Kali terakhir saya berlakon untuk telefilem Maid siaran Astro dan Khilaf Seorang Isteri di TV3. Tak silap saya sekitar Ramadan dan raya lalu. Kalau kata saya tak nak berlakon lagi memang tak benar kerana lakonan menjadi minat serta keghairahan saya. Sejak kecil memang bukan saya nak jadi artis tetapi nak berlakon. Saya suka meneroka emosi dan mengkaji aspek psikologi dalam lakonan. Peluang berehat ini juga memberi ruang untuk saya ambil mood baharu," katanya.

Info Tasha Shilla

- Judul Gemilang, Atas Nama Cinta, Bunga April antara deretan drama bersiri yang menaikkan suhu populariti Tasha

- ARTIS Baru Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011

- Nama penuh, Natasha Sheila binti Abdul Razak

Berita Harian X