Isnin, 14 September 2015 | 6:50pm

Kami masih sebumbung, tak bercerai - Syed Aiman


LINDA hadir bagi menghantar borang permohonan pengesahan lafaz cerai yang dibuat suaminya, Syed Aiman, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Syariah Shah Alam, 11 September lalu. - Foto Muhammad Sulaiman

KUALA LUMPUR: Kenyataan krisis rumah tangga Linda Rafar dan Syed Aiman nampaknya mula bercanggah. Di saat Linda mengatakan yang rumah tangganya sudah berakhir dengan lafaz perceraian, Syed Aiman pula menafikan semua itu.

Malah Syed Aiman juga mengakui masih tinggal sebumbung dengan isterinya kerana mereka masih sah sebagai pasangan suami isteri.

Pasangan ini berkahwin 2 Disember 2006. Bagaimanapun baru-baru ini dunia hiburan kecoh apabila Linda mendakwa suaminya sudah melafazkan cerai selepas berlaku pertengkaran antara mereka. Linda kini juga sedang berbadan dua.

Linda sebelum ini memberitahu BH Online bahawa Syed melafazkan cerai pagi 8 September lalu. Kata Linda, lafaz itu dilakukan tanpa sebab dan turut disaksikan ibu dan anaknya.

Syed Aiman juga memilih untuk tidak pergi ke mahkamah Shah Alam kerana tak wujud langsung lafaz cerai yang didakwa isterinya. Hanya Linda yang hadir ke mahkamah.

"Bagi saya tak ada apa-apa pun yang berlaku antara kami. Memang kami ada bergaduh kecil tapi tak sampai saya lafazkan cerai kepadanya. Memang banyak kenyataan yang keluar daripadanya tidak wujud dan terjadi.

Saya pun sudah menafikannya dalam program Melodi TV3 semalam. Tapi biasalah dia sedang mengandung dan pastinya emosi turun naik. Orang 'emo' (emosi) cakap macam inilah.

"Perkara ini kecil sahaja. Tapi sudah jadi besar dan kecoh satu dunia. Dengan kemudahan teknologi sekarang, kita bebas berbuat apa tanpa berfikir panjang. Hanya dengan memuat naik gambar di laman Instagram dan kemudian dia 'dicucuk' dan ditanya peminat, maka terjadilah benda yang tak sepatutnya terjadi.

"Saya tekankan memang tak berlaku perceraian antara kami. Jadi tak ada sebab untuk saya ke mahkamah. Cuma apabila terjadi perkara sebegini, dia yang 'panas', saya kena jadi yang 'sejuk'.

Malah selepas membuat kenyataan di Melodi saya ada bercakap dengannya. Sebagai suami saya nasihat dia dan dia kena fikir panjang," katanya yang masih sayangkan rumah tangganya dengan Linda.

Linda dan Syed dikurniakan dua orang anak iaitu Syed Rezaqiib dan Syed Rezariiq. Sebelum Syed Aiman, Linda pernah berkahwin dan dikurniakan dua anak iaitu Rezaril Keflin dan Memen atau nama penuhnya, Rezaimen Keiflin. Memen meninggal dunia pada usia 11 tahun pada 5 Julai tahun lalu disebabkan barah perut atau 'Burkitt Lymphoma'.

1647 dibaca
Berita Harian X