Isnin, 14 September 2015 | 6:39pm

Liga Juara: Ronaldo mampu cipta lebih banyak rekod - Benitez


RAFAEL Benitez. - Foto REUTER

MADRID: Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo memburu lebih banyak rekod jaringan ketika The Galaticos memulakan kempen Liga Juara-Juara Eropah bertemu Shakhtar Donetsk, awal pagi Rabu nanti.

Ronaldo muncul penjaring terbanyak Real di La Liga, Sabtu lalu selepas meledak lima gol ketika membelasah Espanyol 6-0 sekali gus mengatasi rekod dipegang dua legenda kelab itu, Raul Gonzalez dan Alfredo di Stefano.

Pemain Terbaik Dunia itu juga hanya ketinggalan lima gol di belakang rekod dipegang Raul di Real dalam kempen Liga Juara sekalipun beraksi kurang 400 perlawanan berbanding legenda Sepanyol itu.

Lebih daripada itu, pemain kelahiran Portugal itu mampu menjarakkan rekod penjaring gol terbanyak Liga Juara yang dipegang bintang Barcelona, Lionel Messi dengan kedua-duanya mengumpul 77 gol.

"Seseorang yang menjaringkan gol dengan amat banyak dapat meletakkan nama mereka dalam sejarah seperti Raul atau Di Stefano," kata bos Real, Rafael Benitez.

"Saya fikir kita bercakap mengenai tiga pemain paling bersejarah dan saya berharap Cristiano terus menambah jumlah gol untuk kebaikannya dan juga untuk pasukan," katanya.

Kemenangan 6-0 ke atas Espanyol bermakna pasukan bimbingan Benitez kini mengumpul 11 gol daripada dua perlawanan terakhir.

Keputusan itu menolak kegusaran yang mengatakan bekas pengurus Liverpool dan Chelsea itu akan menggunakan corak permainan bertahan musim ini. - AFP

Berita Harian X