Isnin, 14 September 2015 | 6:16pm
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed. - Foto BERNAMA

Polis ambil langkah keselamatan menjelang Perhimpunan Baju Merah

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengambil beberapa langkah bagi memastikan lalu lintas dan ketenteraman awam tidak terjejas dengan Perhimpunan Baju Merah yang dirancang pada Rabu ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata langkah yang diambil termasuk mengadakan sekatan jalan raya di beberapa kawasan terutamanya Bukit Bintang.

"Polis sudah mengambil tindakan. Saya fikir mereka perlu membuat sekatan jalan raya di beberapa lokasi di Bukit Bintang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Antarabangsa IMB mengenai Pelanunan Global, Rompakan Bersenjata dan Keselamatan Maritim di sini, hari ini.

Nur Jazlan berkata, perhimpunan dibenarkan di bawah Akta Perhimpunan Aman tetapi di bawah undang-undang sama perhimpunan hanya dibenarkan di lokasi yang diwartakan sahaja.

"Tidak ada lokasi yang diwartakan di bawah undang-undang. Oleh itu, kamu perlu mendapat kebenaran daripada pemilik (lokasi mengadakan perhimpunan di situ)," jelasnya.

Ditanya sama ada kementeriannya mengharamkan baju T merah sebelum perhimpunan, beliau menjawab: "Saya tidak fikir ia adalah isu pada masa ini."

Himpunan Rakyat Bersatu atau Perhimpunan Baju Merah dianjurkan sebagai membalas perhimpunan Bersih 4 yang diadakan di sekitar ibu negara pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Penganjur perhimpunan dilaporkan berkata, peserta akan berhimpun di Bukit Bintang sebelum berarak ke Padang Merbok, dan kawasan-kawasan terbabit terletak di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam satu sidang media berasingan, berkata DBKL membenarkan perhimpunan itu diadakan di Padang Merbok.

Katanya, penganjur telah membuat permohonan dengan DBKL untuk mengadakan perhimpunan di lokasi itu dan permohonan mereka didapati memenuhi syarat yang dikenakan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Khalid berkata, polis akan menempatkan anggota secukupnya untuk mengawal selia perhimpunan itu bagi memastikan keselamatan peserta dan orang awam.

"Penganjur juga akan bertanggungjawab bagi sebarang provokasi atau insiden yang tidak diingini. Polis akan memantau keadaan untuk mengesan sebarang ucapan yang berbaur hasutan," katanya.

- BERNAMA

59 dibaca
Berita Harian X