Isnin, 14 September 2015 | 7:01am

Pilihan raya Sarawak awal tahun depan?

Ketika kemelut politik terus melanda negara, Sarawak kini sudah bersiap sedia untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) dan kemungkinan besar diadakan beberapa bulan lebih awal dalam usaha Tan Sri Adenan Satem mendapat mandat pertama daripada rakyat sebagai Ketua Menteri sejak memegang jawatan itu, Mac tahun lalu.

PRN-11 itu boleh diadakan selewat-lewatnya Ogos 2016 iaitu 60 hari selepas berakhirnya tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 20 Jun tahun depan. Kali terakhir pilihan raya negeri diadakan pada 16 April 2011, dengan BN di bawah kepemimpinan Ketua Menteri ketika itu, Tun Abdul Taib Mahmud menguasai majoriti 55 daripada 71 kerusi dipertandingkan - tewas 15 kerusi kepada pakatan pembangkang, masing-masing 13 (DAP), 2 (PKR) dan 1 (Bebas). Untuk PRN-11, 11 kawasan DUN baharu dijangka dipertandingkan, menjadikan 82 kerusi DUN, terbanyak berbanding negeri lain. Daripada 11 kerusi baharu itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi tonggak kekuatan BN negeri dijangka diagihkan sekurang-kurangnya lima kerusi. Dalam dua pilihan raya negeri lalu, PBB menang semua 35 kerusi yang ditandingi dan dijangka terus mengulangi kecemerlangan itu pada PRN-11. Andai PBB yang kini diterajui Adenan, sekali lagi menyapu bersih semua kerusi DUN ditandingi, bermakna PBB mendapat 40 kerusi, kurang dua kerusi untuk majoriti mudah, membentuk kerajaan negeri secara bersendirian.

Namun, PBB percaya kepada konsep perkongsian kuasa dan sebab itulah ia bertahan kukuh sepanjang masa. Populariti Adenan dalam kalangan rakyat Sarawak dengan gaya bersahajanya, disenangi ramai. Malah ungkapan 'Ooo Haa' dan 'You, You' yang menjadi 'trademark' beliau, kini menjadi ikutan pelbagai lapisan masyarakat. Namun, untuk mencatat keputusan majoriti dua pertiga dalam DUN, Adenan perlu menyelesaikan masalah yang membelenggu dua lagi rakan BN negeri - Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), kerana tertubuhnya parti serpihan SUPP iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan serpihan SPDP - Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS). UPP dan TERAS mendakwa sebagai 'mesra BN' tetapi 'kemesraan' itu akan tercabar apabila, sama ada parti asal atau baharu tidak diagihkan kerusi tradisi mereka, sekali gus calon 'Bebas' menjadi 'boneka tajaan'. Mungkin penyelesaian terbaik ialah meletakkan calon langsung BN (tanpa parti) seperti yang pernah dilakukan sebelum ini. Pada Pilihan Raya Negeri 2011, PRS menang lapan kerusi, enam SPDP dan enam SUPP. Berbalik kepada tarikh pilihan raya negeri akan datang, Adenan dikatakan mahu mengadakannya pada sekitar Oktober/November ini, tetapi menukar fikiran untuk mengadakannya pada 2016. Difahamkan, sukar untuk mengadakan pilihan raya negeri tahun ini, kerana Bajet 2016 akan dibentangkan di Parlimen pada 23 Oktober dan diikuti pembentangan bajet peringkat negeri pada November. Disember pula cuaca kurang elok untuk pilihan raya, selain 'bulan percutian/melancong' bagi orang ramai. Oleh itu, tarikh sesuai yang dijangka untuk PRN-11 ialah pada Januari/Februari tahun depan.

Berita Harian X