Ahad, 13 September 2015 | 1:38pm
Lebuhraya Utara Selatan. - Gambar hiasan

Mayat lelaki ditemui dalam semak tepi lebuh raya

BUKIT KAYU HITAM: Mayat seorang lelaki ditemui dengan beberapa kesan tetakan pada kepala dan tangan di kawasan semak dekat Kilometer 5.4 Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Kampung Padang Satu, di sini pagi tadi.

Mayat mangsa disyaki berusia lingkungan 40-an itu ditemui tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai dibunuh antara enam hingga 12 jam, sebelum mayatnya dijumpai kira-kita jam 9.30 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, berkata setakat ini pihaknya belum dapat mengesahkan identiti serta kewarganegaraan mangsa kerana siasatan di lokasi kejadian hanya menemui selonggok kunci dan telefon bimbit pada mangsa, manakala dompet serta pengenalan dirinya tidak ditemui.

"Kita masih mengesan senjata digunakan untuk menetak mangsa dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dekat sini, untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Berita Harian X