Sabtu, 12 September 2015 | 3:17pm

EPL: Saya bukan diktator - Van Gaal


LOUIS Van Gaal.

LONDON: Pengendali Manchester United, Louis van Gaal berkata keputusannya untuk mendengar permintaan pemainnya membuktikan dia bukanlah seorang diktator.

Selepas timbul tuduhan perpecahan dan pemberontakan pemain di bilik persalinan Old Trafford, Van Gaal tampil memberi penjelasan mengenai perkara terbabit pada sidang media sebelum perlawanan menentang Liverpool, semalam.

Pengurus berusia 64 tahun mengakui Wayne Rooney dan Michael Carrick datang berjumpanya selepas perlawanan pembukaan menentang Tottenham untuk menyuarakan kebimbangan mengenai moral pemain yang kecewa dengan corak pengurusan dan teknik latihan yang digunakan.

Begitupun, Van Gaal menegaskan dia tidak marah dengan pemainnya dan mendakwa dia gembira Rooney dan Carrick tampil ke depan kerana ia adalah cara kerjanya untuk menjadikan pasukan lebih baik.

"Ia adalah perkara yang positif apabila ada pemain datang kepada saya dan bukan saja Carrick atau Rooney, pemain-pemain lain juga," kata Van Gaal.

"Namun ketika ini ia adalah Carrick dan Rooney yang memberi amaran kepada saya kerana mereka adalah kapten. Kerana itu saya pergi ke bilik persalinan.

"Begitupun, semua pemain berkomunikasi dengan saya. Mereka datang ke pejabat saya. Percayalah, ia seperti itu. Saya bukanlah diktator. Saya seorang komunikator."

Van Gaal berkata, dia sudah mengubah cara dia mengumumkan pelan permainan kepada pemainnya di Old Trafford.

"Sebagai contoh, kini saya bertanya lebih awal dan mereka boleh berkata apa yang mereka mahukan. Kebanyakan strategi adalah sama kerana mereka menggemari apa yang sudah dilakukan.

"Saya pergi ke bilik persalinan, analisa situasi untuk mereka dan memberikan ruang. Selepas itu, suasana menjadi bertambah baik dan selepas itu kami menang sekali lagi."

Man United dijadual bertemu Liverpool, awal pagi ini. - AFP

Berita Harian X