Jumaat, 11 September 2015 | 10:43am

Malaysia - Thailand harus kerjasama rebut peluang penuhi permintaan makanan halal - Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

SONGKHLA : Malaysia dan Thailand wajar bekerjasama dan membuat persediaan untuk memenuhi permintaan terhadap makanan halal yang semakin meningkat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah kerjasama itu boleh dijayakan berdasarkan pengiktirafan dunia ke atas sijil halal Malaysia, manakala wilayah Selatan Thailand pula kaya dengan bahan mentah dan pertanian.

"Permintaan terhadap produk halal yang secara tradisinya terdiri daripada makanan dan minuman telah berkembang meliputi pelbagai bidang, seperti perubatan, pelancongan, perbankan, hospitaliti, kosmetik dan projek penjagaan diri.

"Selain pertambahan penduduk dan pendapatan yang semakin meningkat, Selatan Thai dengan lebih 20 juta penduduknya beragama Islam dan bersempadan dengan Perlis, boleh memanfaatkan kelebihan masing-masing bagi menjayakan kerjasama strategik berlandaskan kepentingan bersama," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda menyampaikan titah ucaptama bertajuk 'Peluang Membina Kolaborasi Antara Perlis dan Thailand' di Pameran Produk Halal Dunia (HAPEX) 2015 di Pusat Konvensyen Peringatan Sambutan 60 Tahun Pemerintahan Raja Thailand, Prince of Songkhla University (PSU), kampus Hat Yai, di sini, petang semalam.

Seminar dan pameran HAPEX anjuran PSU dari 10 hingga 13 September ini dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, M.L. Panadda Diskul.

Ketua Setiausaha Pertubuhan Halal Islam Antarabangsa (IIHO) Dr Saleh Alaayed Diskul dan Presiden PSU, Dr Chusak Limsakul turut menyampaikan ucapan masing-masing pada seminar itu.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kerjasama Perlis-Thailand akan lebih mudah menerusi cadangan pembukaan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di Padang Besar yang bermatlamat memudahkan pengeksportan produk-produk halal dari Selatan Thai ke seluruh dunia.

"Kerajaan pusat melalui Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) pula menawarkan insentif cukai yang menarik bagi pelaburan dalam industri produk halal di Lembah Chuping.

"Kawasan perindustrian ringan yang akan diwujudkan di Lembah Chuping sudah pasti dapat menyokong aktiviti logistik dan pembahagian pukal serta penjenamaan produk halal untuk memenuhi permintaan umat Islam," tambah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sebuah pusat sokongan halal sebagai pangkalan data perlu diwujudkan untuk memberi maklumat, pengetahuan berkaitan halal dan untuk menyebar maklumat berguna kepada komuniti peniaga bagi mengakses pasaran dan bahan-bahan mentah.

Baginda berharap program latihan dan bengkel berterusan diberikan kepada syarikat atau pelabur industri tersebut bagi memastikan mereka memenuhi piawaian antarabangsa selain promosi berterusan di negara-negara pengguna.

Beberapa jabatan dan agensi kerajaan di Perlis adalah antara 250 badan yang menyertai HAPEX 2015 bagi mempromosi produk halal masing-masing. - BERNAMA

Berita Harian X