Khamis, 10 September 2015 | 4:32pm

IPP Malaysia naik 6.1 peratus pada Julai 2015

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak 6.1 peratus pada Julai 2015 berbanding bulan yang sama tahun lalu, kata Jabatan Perangkaan.

Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata kenaikan pada Julai disokong oleh pertumbuhan positif dalam pembuatan (4.2 peratus) dan perlombongan (14 peratus), manakala indeks elektrik turun 1.2 peratus.

Dalam terma pelarasan musim, IPP pada Julai 2015 turun 0.1 peratus bulan ke bulan berikutan kejatuhan indeks pembuatan (2.4 peratus).

Jabatan itu berkata, indeks bagi perlombongan dan elektrik meningkat masing-masing sebanyak 2.3 peratus dan 0.7 peratus.

Pengeluaran sektor pembuatan meningkat sebanyak 4.2 peratus pada Julai 2015 selepas mencatatkan peningkatan 4.9 peratus pada Jun 2015.

Subsektor utama yang meningkat pada Julai 2015 ialah produk elektrik dan elektronik (7.2 peratus); produk petroleum, kimia, getah dan plastik (3.3 peratus); dan, kelengkapan pengangkutan serta pembuatan lain (8.8 peratus), kata jabatan itu.

Bagi pelarasan musim berasaskan bulan ke bulan, pengeluaran pembuatan turun 2.4 peratus pada Julai 2015.

Jabatan Perangkaan berkata, dalam sektor perlombongan, pengeluaran meningkat 14 peratus pada Julai 2015 berbanding bulan yang sama pada 2014.

"Pengembangan ini disebabkan terutamanya peningkatan indeks minyak mentah (7.5 peratus) dan indeks gas asli (22.3 peratus)," katanya.

Pada Jun 2015, pengeluaran pelarasan bermusim bagi sektor perlombongan meningkat sebanyak 2.3 peratus. Pengeluaran sektor elektrik turun 1.2 peratus pada Julai 2015 berasaskan tahun ke tahun.

Dalam terma pelarasan musim, pengeluaran sektor elektrik meningkat sebanyak 0.7 peratus pada Julai 2015 berbanding bulan sebelumnya.

Jabatan itu berkata, IPP Malaysia bagi tempoh Januari hingga Julai 2015 mencatatkan pertumbuhan 5.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Kenaikan itu adalah disebabkan peningkatan semua tiga indeks, iaitu pembuatan (4.7 peratus); perlombongan (8.3 peratus) dan elektrik (1.7 peratus). - BERNAMA

Berita Harian X