Khamis, 10 September 2015 | 1:36pm

Konsert Selasihku Sayang gabung artis lama, baharu


Datuk Johari Salleh

KUALA LUMPUR: Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dan Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) akan mempersembahkan sebuah konsert bertemakan Selasihku Sayang pada hari Ahad, 20 September ini jam 8.30 malam.

Konsert menarik ini bakal memartabatkan muzik Melayu asli dan membawa irama tradisional itu ke tahap yang lebih tinggi, dilagukan oleh generasi baharu dan lama di dewan berprestij DFP.

Konsert ini adalah sejajar dengan objektif DFP untuk memelihara, memupuk dan mempromosi irama dan budaya tradisional. Sebelum ini, DFP pernah mempersembahkan konsert-konsert bertemakan Malam Melayu Klasik, Johore Heads North dan Keroncong Merdeka, sebagai sebahagian wadah DFP Seni Festival, yang menghidangkan genre muzik tempatan seperti asli, keroncong dan zapin.

Selasihku Sayang adalah kolaborasi kali kedua DFP bersama JKKN selepas persembahan Makyung pada tahun 2013. Konsert ini adalah langkah berterusan kami untuk membawa muzik tempatan ke peringkat yang tinggi dalam dewan konsert yang berakustika gah. Persembahan ini bakal menampilkan penyanyi-penyanyi asli veteran seperti Datuk Andre Goh dan Aspalela Abdullah.

Mereka sudah mencapai taraf legenda dan memberi sumbangan yang cukup besar kepada dunia muzik asli negara sejak tahun 1960-an. Sepanjang pembabitan mereka dalam dunia seni, mereka banyak memenangi anugerah sebagai menghargai sumbangan yang diberikan. Tidak hanya penyanyi generasi lama, ia turut akan dimeriahkan penyanyi generasi baharu.


Datuk Andre Goh


Dayang Nurfaizah

Pentas DFP ini akan menyaksikan kolaborasi penyanyi veteran dan artis angkatan muda seperti Dayang Nurfaizah, Haziq Rosebi dan Asmidar, serta pemenang Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan. Kolaborasi ini diharapkan supaya dapat meneruskan legasi seni tradisional sekaligus memperkukuhkannya pada masa mendatang.

Antara lagu yang akan didendangkan adalah karya malar segar seperti Bunga Tanjung, Embun Menitik, Penawar Rindu, Sri Kedah, Gunung Banang, Patah Hati, Mas Merah dan Sri Mersing. Persembahan ini bakal diiringi oleh Orkestra Kuala Lumpur (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) di bawah pimpinan Datuk Johari Salleh, seorang tokoh unggul dalam dunia muzik simfoni negara.

Beliau pernah menjadi juri penting dalam pertandingan lagu berprestij seperti Asia Pacific Broadcasting Union (ABU), Asean Song Festival dan World Popular Song Festival di Tokyo. Konsert istimewa ini bakal diserikan dengan penampilan peniup saksofon veteran Datuk Ahmad Nawab yang juga seorang komposer prolifik yang sudah mencipta lebih dari 2000 lagu.

Harga tiket bagi persembahan itu ialah RM70. Layari laman web www.mpo.com.my, Facebook: fb.mpo.com.my dan

Instagram: @malaysianphilharmonicorchestra untuk maklumat lanjut.

13 dibaca
Berita Harian X