Jumaat, 26 September 2014 | 4:03pm

Lelaki warga Pakistan rentung nahas di Tapah

IPOH: Seorang lelaki warga Pakistan yang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) maut manakala rakan senegaranya cedera apabila kenderaan dipandunya terbabas ke dalam gaung sebelum terbakar di Kilometer 40 Jalan Tapah-Cameron Highlands dekat Tapah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak Din Keliaw, berkata pemandu MPV itu, Aamir Zulfiqar, 26, maut di tempat kejadian manakala rakannya Ali Hassan, 19, cedera di bahagian kaki dan tangan.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, kenderaan jenis Naza Citra yang dipandu mangsa dalam perjalanan ke Tapah terbabas ke dalam gaung semasa mengelak daripada dilanggar sebuah lori yang memasuki laluan bertentangan di satu selekoh.

"Sebelum kereta itu terbakar, pemandu tersebut pengsan sementara rakannya sempat keluar dari kereta untuk meminta bantuan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, mangsa mati akibat terbakar seluruh badan dan mayatnya dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

-BERNAMA

15 dibaca
Berita Harian X