Rabu, 9 September 2015 | 2:26pm

Linda Rafar dan Syed Aiman tak muncul di mahkamah


LINDA Rafar menyerahkan permohonan pengesahan lafaz cerai oleh suaminya, Syed Aiman, di Mahkamah Rendah Syariah, sebentar tadi.

KUALA LUMPUR: Sepatutnya Linda Rafar dan Syed Aiman perlu hadir ke Mahkamah Syariah Shah Alam pagi tadi untuk mengesahkan lafaz cerai. Tapi hingga jam sekarang, kelibat kedua mereka belum nampak. Beberapa teman media turut dilihat masih menanti pasangan ini di mahkamah berkenaan.

Usaha menghubungi Linda dan Syed juga untuk bertanyakan lanjut mengenai perkara berbangkit juga tidak berjawab.

Linda bagaimanapun ada menghantar WhatsApp kepada BH Online memberitahu Syed melafazkan cerai pagi 8 September lalu. Kata Linda, lafaz itu dilakukan tanpa sebab dan turut disaksikan ibu dan anaknya. Linda turut memberitahu dia masih trauma dan belum tahu apa lanjutan serta tindakan yang patut dilakukan.

"Saya agak kecewa dengan sikap terburu-burunya melafazkan cerai. Selepas itu dia nak tarik balik lafaz berkenaan kerana menyesal dan di saat hati saya remuk. Sama ada untuk terima dia semula atau tidak, saya masih belum ada jawapan pasti. Yang pasti saya difitnah dan diceraikan tanpa sebab. Saya tak boleh menerima langsung apa yang dilakukannya kerana saya tak ada buat salah.

"Malah saya sentiasa bersabar dan mengalah dalam apa juga dugaan berumah tangga. Maaflah saya demam teruk dan suara pun serak nak bercakap...sebab itu saya tak angkat telefon bimbit," katanya.

Linda dan Syed berkahwin pada 2 Disember 2006 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Syed Rezaqiib dan Syed Rezariiq.

Sebelum Syed Aiman, Linda pernah berkahwin dan dikurniakan dua anak iaitu Rezaril Keflin dan Memen atau nama penuhnya, Rezaimen Keiflin. Memen meninggal dunia pada usia 11 tahun pada 5 Julai tahun lalu disebabkan barah perut atau 'Burkitt Lymphoma'.

122 dibaca
Berita Harian X