Rabu, 9 September 2015 | 12:02am

Evolusi Ghazal Parti


GHAZAL Parti mungkin kedengaran agak asing berbanding Ghazal Johor tetapi seni persembahan Melayu tradisional yang berasal dari Timur Tengah itu sebenarnya sudah popular di utara tanah air sejak dekad 1950-an lagi.

Ketika mula memasuki negara ini kira-kira 60 tahun lalu, Ghazal Parti yang menggabungkan persembahan muzik, nyanyian, tarian dan lawak jenaka asalnya dimainkan golongan agama setiap kali selepas berlangsungnya sesuatu persidangan atau mesyuarat tetapi bentuk berbeza.

Ini kerana, Presiden Persatuan Karyawan Pulau Pinang (Karyawan PP), Prof Sohaimi Abdul Aziz menegaskan Ghazal Parti pada ketika itu, tidak dianggap hiburan semata-mata sebaliknya berperanan mendidik masyarakat melalui nilai positif dalam lagu yang dipersembahkan.

Beliau yang mula membuat kajian mengenai seni tradisi itu pada tahun 2006 berkata, antara unsur yang cuba diterapkan Ghazal Parti dalam setiap nyanyian ialah perasaan cintakan negara dan kasih sayang dalam masyarakat.


PERSEMBAHAN Ghazal Party dengan tarian berirama padang pasir di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara JKKN) Wilayah Persekutuan, baru-baru ini. - Foto Owee Ah Chun

"Ketika awal perkembangannya di tanah air, penari Ghazal Parti ialah lelaki, tetapi peranan itu diambil alih lelaki berperwatakan lembut yang pada fasa itulah seni berkenaan semakin berkembang dan tersebar ke merata tempat.

"Ia sering kali disalah anggap sama dengan Ghazal Johor sedangkan Ghazal Parti lebih mesra dengan irama lagu padang pasir berbanding seni tradisi di selatan itu mendendangkan lagu Melayu asli," katanya kepada Sastera BH selepas Persembahan Ghazal Parti di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Persembahan oleh Kumpulan Ghazal Parti Karyawan PP itu dibarisi anggota asal Kumpulan Ghazal Parti Kepala Batas yang wujud sejak zaman awal kemerdekaan lagi.

Sohaimi yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, beliau mengambil keputusan untuk membuat kajian dan menghidupkan kembali seni tradisi Melayu itu kerana seni itu mengalami zaman suram sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


MAN Belon mempersembahkan lagu 'Kanci Suasa' pada persembahan Ghazal Party di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara JKKN) Wilayah Persekutuan, baru-baru ini. - Foto Owee Ah Chun

"Jika diperhatikan, kumpulan Ghazal Parti yang masih aktif kini hanya dianggotai warga emas tanpa pelapis daripada kalangan orang muda.

"Keprihatinan inilah yang menimbulkan idea untuk menubuhkan kumpulan baharu dengan gabungan anggota asal Ghazal Parti Kepala Batas.

"Kumpulan Ghazal Parti Karyawan PP sudah mula membuat persembahan sejak awal tahun ini dan saya turut mengambil pelajar sekolah menganggotai kumpulan ini bagi memastikannya terus dihidupkan oleh generasi muda," katanya pada persembahan sempena Panggung Seni Tradisional 2015 anjuran JKKN dan Petronas.


DARLING Shah dengan lagu 'Penawar Rindu' pada persembahan Ghazal Party di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara JKKN) Wilayah Persekutuan, baru-baru ini. - Foto Owee Ah Chun

Beliau berkata, kumpulannya menggunakan konsep ghazbo, iaitu gabungan seni Ghazal Parti dan boria yang ditonjolkan pada persembahan akhir yang disertai ramai penari berbanding hanya dua orang pada setiap dendangan lagu dalam Ghazal Parti seperti kebiasaannya.

"Ia sebenarnya bukanlah persembahan boria tetapi hanya iringan tarian yang mempunyai unsur Arab dan membabitkan lebih ramai penari bagi menambah kemeriahan persembahan.

"Selain itu, lagu yang didendangkan juga terdiri daripada kontemporari moden misalnya Kun Anta dan Nourel Chams yang lebih mesra di telinga orang ramai," katanya.

Acara itu adalah sebahagian usaha mementaskan kesenian tradisional Malaysia memupuk minat masyarakat tempatan sehingga meningkatkan penghayatan dan rasa cinta kepada warisan budaya, selain menarik pelancong.


DARLING Shah mendendangkan lagu pada persembahan Ghazal Party di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara JKKN) Wilayah Persekutuan, baru-baru ini. - Foto Owee Ah Chun

37 dibaca
Berita Harian X