Selasa, 8 September 2015 | 7:02pm

Elizabeth Tan pilih untuk 'setia' dengan Faizal Tahir


ORANG ramai memilih pelbagai juadah di Z&Z Mak Anjang, Jerantut.- Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Selepas mencipta fenomena di YouTube menyampaikan semula lagu orang dan tampil dengan single sulung, Knock Knock, Elizabeth Tan kini ada alasan terbaharu yang boleh membuatkannya tersenyum girang. Selepas berjaya dengan single pertama, Elizabeth kini muncul untuk single kedua yang bertajuk 'Setia'.

Kali ini, Elizabeth mempertaruhkan muzik yang berentak balada pop gandingan bersama sifunya, Faizal Tahir. Faizal bukanlah nama yang asing dalam arena industri muzik tempatan. Pada hujung tahun 2014 Faizal menghasilkan single terbaharu berjudul 'Assalamualaikum' yang terus membawanya kembali ke persada muzik tanah air setelah hampir dua tahun mendiamkan diri.

Ternyata 'comeback' Faizal dengan lagu 'Assalamualaikum' menjadi kerana Faizal kini sering mendapat pelbagai tawaran persembahan dan tidak lari juga tawaran sebagai komposer dan penerbit lagu. Kini, taruhan lagu 'Setia' nyanyian Elizabeth Tan gandingan bersama Faizal Tahir ini pasti membuatkan peminat muzik terus jatuh hati dengan lagu ini.

Memang tidak menghampakan apabila lirik yang ditulis ini mampu memberi kesan kepada mereka yang mendengarnya. Lagu 'Setia' ini secara keseluruhannya adalah luahan rasa cinta yang muncul hanya untuk kekasih hatinya dan ingin hidup bahagia bersama untuk selamanya. Lagu 'Setia' ini telah dicipta sepenuhnya oleh Faizal Tahir, Mike Chan dan juga Ezra Kong.

'Setia' baharu sahaja dilancarkan pada bulan Jun lalu dan sudah mula mendapat sambutan yang hangat sejak berkumandang di corong radio dan kini sudah mula mengungguli carta radio tempatan. Lirik video bagi lagu 'Setia' ini juga tidak kurang hebatnya apabila mendapat hampir satu juta tontonan dalam masa satu bulan sahaja.

Susunan lagu 'Setia' yang indah juga tampak sempurna apabila dilengkapi dengan gaya sebutan dan juga nada suara Elizabeth yang disifatkan unik. Elizabeth dan Faizal juga baru saja selesai penggambaran untuk muzik video 'Setia' dan dijangka dilancarkan dalam masa terdekat ini.

Selain itu, lagu ini juga turut menjadi lagu tema bagi slot Akasia TV3, 'Mencintaimu' yang dibintangi Sharnaaz Ahmad dan Zahirah MacWilson yang mula ditayangkan pada 19 Ogos lalu.

44 dibaca
Berita Harian X