Selasa, 8 September 2015 | 4:10pm

Asfan pernah disangka SonaOne


PENYANYI dan komposer, Asfan. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer Asfan mengakui dia pernah dibayangi penyanyi SonaOne sebelum ini. Tetapi penyanyi Alasan Untuk Bahagia itu menjelaskan semua terjadi secara kebetulan atas paksi aliran fesyen yang sama.

"Saya juga meminati fesyen dan gemar bergaya. Jadi apa yang menjadi aliran terkini, saya juga nak menggayakannya. Tak mahu pula dikatakan ketinggalan zaman. Secara kebetulan fesyen dan cita rasa saya itu sama dengan penyanyi SonaOne dan orang mula memperkatakannya. Malah kami juga dikatakan mempunyai iras muka yang sama.

"Pernah terjadi insiden, saya dipanggil SonaOne dan disangka sebagai beliau. Siap ada yang ucap tahniah lagi kepada saya ketika kemenangan SonaOne di Anugerah Juara Lagu. Tapi dalam hati tak terdetik pun nak tiru sesiapa," katanya.

Dalam pada itu, Asfan menjelaskan impak pencalonannya di ABPBH 2014 menerusi kategori Penyanyi Lelaki Popular cukup mengesankan. Malah selepas lebih sembilan tahun berjuang dan bergelut di arena seni, Asfan kini boleh tersenyum bangga.

"Pencalonan di ABPBH 2014 memang sangat membantu kerjaya seni saya. Tidaklah pada tahap selesa sangat tetapi ia sudah cukup untuk buat saya terus memberikan yang terbaik. Banyak lagi benda yang perlu saya perbaiki. Sekarang ini pun saya banyak menulis lagu untuk artis termasuk yang bernaung di bawah syarikat saya iaitu Black Beast Entertainment yang ditubuhkan sejak awal tahun ini.

"Di bawah syarikat saya, ada kumpulan Qanda yang dianggotai lima orang. Saya juga kini sedang mempromosikan single terbaharu berjudul Semua Tentang Kita. Lagu ini juga akan menjadi lagu runut bunyi drama Akulah Balqis untuk slot Akasia TV3. Memang sekarang saya juga dilihat selesa dengan lagu berentak balada.

"Saya pilih untuk menyanyi lagu genre yang orang selesa mendengarnya. Dahulu memang saya terarah lagu hip hop dan R&B, tetapi saya harus realistik dengan memberi perhatian kepada apa yang orang suka. Saya tak boleh syok sendiri. Insya-Allah dalam tahun ini juga saya akan tampil dengan album mini bersama syarikat Rusa Music," katanya.

Berita Harian X