Selasa, 8 September 2015 | 12:11am
HIMPUNAN koleksi dari warna berani membuatkan imej wanita kelihatan lebih segar moden.

Fesyen wanita gempal

APABILA individu tampil berbeza dalam berfesyen lazimnya mereka yang bertubuh gempal akan mendapat reaksi pelbagai daripada orang ramai, ada yang suka dan mengutuk.

Bagi wanita bertubuh besar yang tampil dengan gaya berani, unik dan bercita rasa tinggi pasti ramai melemparkan pandangan dengan pelbagai maksud.

Justeru, persepsi ini menjadikan kebanyakan mereka yang berbadan besar di negara ini menganggap diri mereka kurang bernasib baik kerana tidak berpeluang menggayakan sesuatu rekaan berwarna cerah.

Perasaan rendah diri ini menyebabkan mereka lebih gemar mengenakan pakaian berwarna kusam dan fesyen yang kurang menonjol.

Paling penting, wanita perlu tahu gemuk itu juga cantik sekiranya bijak mengetengahkan gaya fesyen bahkan mereka juga tampak menarik dalam bayangan rona terang sebelum ini dikatakan tidak sesuai untuk mereka.

Gaya plus size

Pemilik jenama pakaian plus size dari Singapura, Jane Watson, Lynn Bakri, menyangkal dakwaan wanita gemuk tidak boleh bergaya, sebaliknya beliau ingin memperkenalkan lebih banyak koleksi gaya menarik untuk pelanggannya.


PEMILIK jenama pakaian plus size dari Singapura, Jane Watson, Lynn Bakri.

Bakal menjadi sebahagian daripada peserta dalam Minggu Fesyen London 2015, pada bulan ini, katanya idea mengeluarkan koleksi ditempah khas daripada pelanggan itu mula tercetus sejak setahun lalu.

"Bekerja sebagai pegawai pengiklanan, saya perlu menjaga penampilan ketika bertemu pelanggan. Malangnya, di Singapura sendiri tidak banyak jenama yang menawarkan koleksi plus size menarik perhatian.

"Kebanyakan pilihan jenama untuk wanita bertubuh besar juga skeptikal dalam soal pemilihan warna dan corak yang membuatkan imej menjadi bertambah kusam.

"Bermula dari itu saya mula menempah pakai sendiri hingga rakan tertarik dan akhirnya membuka peluang untuk mengambil bidang ini secara serius," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.


JANE sediakan pelbagai koleksi warna ceria bantu individu tampil bergaya dan anggun.

Dapat sambutan di Eropah

Bukan sekadar dikenali dalam kalangan pembeli dari Singapura, malah di Eropah. Kini beliau mula membuka cawangan di Kuala Lumpur, katanya konsep diketengahkan jenama itu berbeza daripada kebanyakan koleksi plus size di pasaran.

Akui Lynn pengalaman dijemput menyertai persembahan fesyen British Plus Size Fashion Weekend 2014 memberikan kenangan manis yang amat berharga.

"Pengalaman menyertai persembahan fesyen di luar negara mengajar saya untuk lebih menghargai susuk tubuh tidak kira apa juga saiz.

"Jadi, saya mahu kongsi perkara sama pada wanita di luar sana. Jangan tanding diri kita dengan wanita lain kerana setiap individu di lahirkan dengan keunikan sendiri," kata ibu kepada empat cahaya mata itu.


WANITA bertubuh gempal juga boleh tampil bergaya.

Fabrik selesa dan serap peluh

Beliau sendiri lebih selesa bermain dengan warna selain rona kusam dan gelap.

Justeru, beliau mahu wanita tampil dengan ceria, anggun dan memikat.

"Jangan sesekali bandingkan diri anda dengan wanita bersaiz kecil sebaliknya terima keadaan tubuh anda seadanya. Dengan gabungan warna dan paten pakaian menjadikan wanita bertubuh gemuk juga lebih bergaya," katanya.

Rekaan motif flora dan potongan geometri juga dapat memberikan bentuk tubuh serta penampilan kemas.

Katanya, penggunaan fabrik yang selesa dan serap peluh sangat penting untuk memberikan keselesaan sepanjang hari terutama wanita bertubuh gempal cepat berpeluh.

"Pelanggan bebas memilih pakaian sesuai ke pejabat, bersantai dan menghadiri majlis rasmi termasuk fesyen Oriental seperti kebarung nyonya.

"Semua khidmat nasihat yang disediakan adalah percuma manakala harga yang ditawarkan bergantung kepada jenis kain dan rekaan mengikut kesesuaian pelanggan," katanya yang menawarkan harga bermula RM370 dan ke atas.

95 dibaca
Berita Harian X