Ahad, 6 September 2015 | 4:45pm

TASKA ambil warga asing sebagai pengasuh akan disiasat: Rohani

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menyiasat dakwaan mengenai kewujudan pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) mengambil warga asing sebagai pengasuh atau menjadikannya penempatan untuk mereka.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang mengumumkan perkara itu di sini, sebentar tadi berkata, semua pengusaha terbabit yang berdaftar, tidak dibenarkan menggaji warga asing sebagai pengasuh.

"KPWKM memandang serius dengan tindakan pengusaha TASKA mengambil warga asing sebagai pengasuh atau menjadikan TASKA sebagai tempat penempatan warga asing tanpa izin.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Berita Harian atas maklumat ini dan siasatan akan dijalankan terhadap TASKA berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

KERATAN laman sosial Facebook Berita Harian Online yang memaparkan isu berkenaan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan akhbar BH hari ini yang mendedahkan wujud sindiket menjual amah kitar semula dengan menyimpan mereka tanpa dokumen di TASKA sekali gus sebagai tempat persembunyian sementara.

Berita Harian X