Ahad, 6 September 2015 | 12:08am

Dang Mar Ezzah teringin berduet dengan Yuna


DAYANG Mar Ezzah Bakar atau lebih dikenali sebagai Dang Mar Ezzah. - Foto Mohd Nazllie Zainul

LAGU-LAGUNYA sering menjadi juara carta lagu Sabah dan kini Dang Mar Ezzah atau nama sebenarnya Dayang Mar Ezzah Bakar, berazam melebarkan kerjaya seni ke seluruh negara.

Menjadikan pencapaian Yuna sebagai pembakar semangat untuk pergi lebih jauh dalam bidang seni, Dang Mar Ezzah menyemat impian bergelar artis bertaraf antarabangsa seperti mana bintang YouTube terkenal itu yang mencetus fenomena dengan muncul di laman berkenaan berhijab sambil memetik gitar.

Lebih mesra disapa sebagai Dang, penyanyi berasal dari Tuaran itu mengakui menyimpan hasrat merakamkan lagu duet dan berkongsi pentas dengan Yuna suatu hari nanti.

"Saya meminati dan mengagumi bakat Yuna yang bukan saja mencipta nama sebagai penyanyi wanita berkebolehan di Malaysia, malah dikenali di peringkat antarabangsa. Sebab itulah saya mahu berusaha lebih keras agar dapat pergi lebih jauh dalam bidang ini.

"Mana tahu jika ada rezeki, suatu hati nanti saya dapat berkongsi pentas dengan Yuna," akui Dang yang kini guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Pitas.


YUNA pembakar semangat Dang. - Foto Nashairi Mohd Nawi

Menceritakan kembali saat mula mencipta nama sebagai penyanyi tempatan di Sabah, Dang berkata, segala-galanya bermula dengan lagu Cinta.

"Lagu itu sebenarnya adalah sebuah puisi ciptaan Awang Abdullah dalam buku antologi, Seuntai Kata Untuk Dirasa. Saya sering menyanyikan puisi itu dengan melodinya dicipta secara suka-suka oleh seorang rakan setiap kali membuat persembahan ketika menuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Gaya di Kota Kinabalu.

"Mendengar lagu itu, pensyarah muzik di IPG Kampus Gaya, Lucy Gawis berminat memberi nafas baharu terhadap lagu berkenaan untuk tujuan komersial dan akhirnya ia mendapat penerimaan baik daripada pendengar, seterusnya 'memperkenalkan' saya dalam dunia hiburan," kata gadis berusia 25 tahun itu.

Antara lagu lain nyanyian Dang yang sering berkumandang di corong radio Sabah ialah Lafazkanlah, Tiada Dalih Lagi dan Kamu.


DANG simpan hasrat untuk berkongsi pentas bersama Yuna suatu hari nanti. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Menceritakan perancangan terbarunya, penyanyi ini giat menyiapkan empat lagu termasuk duet bersama seorang penyanyi ternama di Sabah, namun enggan menamakan siapa artis berkenaan kerana ia masih dalam perancangan, selain mahu membuat kejutan.

Katanya, empat lagu berkenaan akan dimuatkan dalam sebuah album kompilasi bersama beberapa artis tempatan Sabah yang lain.

"Bagi pembikinan album ini, saya masih mengekalkan genre muzik balada dan akustik. Semua lagu ini sudah siap proses rakaman dan hanya tinggal melalui proses akhir saja.

"Semua lagu ini adalah untuk menjayakan projek album kompilasi artis Sabah yang bakal diterbitkan oleh sebuah syarikat penerbitan tempatan.

"Setiap penyanyi yang dipilih untuk pembikinan album ini wajib merakamkan empat lagu, namun bilangan keseluruhan lagu yang akan dimasukkan dalam album itu belum diputuskan," katanya mengenai album yang dijangka menemui peminat muzik Sabah selewat-lewatnya hujung tahun ini.


DANG mula aktif menyanyi sejak berusia enam tahun. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Dilahirkan dalam keluarga meminati seni, anak tunggal kepada pasangan Bakar Jaludin, 58, dan Mariana Abd Hamid, 45, mula aktif menyanyi sejak berusia enam tahun dengan mengikuti pelbagai pertandingan nyanyian peringkat kampung dan tadika.

Menjengah usia ke sekolah rendah dan menengah, Dang semakin aktif dengan menyertai kumpulan koir sekolah.

"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya melanjutkan pengajian ke IPG, Kampus Gaya. Di situ, saya aktif menyanyi dan membuat persembahan sekali gus mendapat peluang untuk merakamkan album, seterusnya bergelar penyanyi.

Pernah memenangi Anugerah Lirik Lagu Terbaik, Anugerah Carta Lagu Artis Sabah 2013, sepupu kepada Ratu Gambus Negara, Fauziah Gambus itu melahirkan hasrat bergelar pelakon dan pengacara pada masa depan.

"Selain nyanyian, saya juga meminati bidang lakonan dan pengacaraan, jika ada peluang serta tawaran...insya-Allah saya bersedia untuk memperluaskan lagi cabang dalam bidang seni," katanya.

BIODATA

Nama Penuh: Dayang Mar Ezzah Bakar

Nama komersial: Dang Mar Ezzah

Umur: 25 Tahun

Asal: Tuaran, Sabah

Taraf Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pendidikan

Pencapaian: Anugerah Lirik Lagu Terbaik, Anugerah Carta Lagu Artis Sabah 2013, Finalis Anugerah Carta Lagu Artis Sabah 2015

11 dibaca
Berita Harian X