Ahad, 6 September 2015 | 12:05am

TASKA sembunyi amah haram


KUALA LUMPUR: Sindiket menjual amah kitar semula terlalu berani dengan bukan saja menyimpan amah tanpa dokumen di rumah majikan, malah menjadikan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) sebagai tempat persembunyian sementara.

Bukan sekadar menyembunyikan amah bermasalah, TASKA yang terletak di Bangi itu juga dikesan menggajikan beberapa lagi pekerja warga Indonesia yang status mereka tidak dapat dipastikan.

Dalam penyamaran wartawan untuk mendapatkan amah murah, ejen haram yang juga seorang amah, membawa kami ke TASKA di kawasan perumahan dua tingkat dan hasil temubual dengan amah itu, dia mengaku sudah lebih tiga hari bersembunyi di situ sementara menunggu majikan baharu.

Ejen haram yang juga seorang amah di situ mampu menyembunyikan amah tanpa dokumen bukan saja di rumah majikannya tetapi di rumah majikan amah yang lain.

Kak Sal (ejen haram), pada mulanya berjanji dengan wartawan untuk bertemu di lokasi pertemuan pertama kami di sebuah stesen minyak di sekitar Bangi, namun selepas berjumpa, dia memberitahu yang amah itu disimpan di sebuah TASKA.


WARTAWAN bertemu dengan Kak Sal di sebuah stesen minyak di Bangi. - Foto Ghazali Kori

Sebuah teksi kemudian membawa Kak Sal ke TASKA berkenaan yang letaknya kira-kira dua kilometer dari stesen minyak, dengan wartawan mengekorinya.

Sebaik memasuki TASKA, amat mengejutkan kerana di dalamnya bukan saja ada amah yang mahu ditawarkan kepada kami tetapi ada beberapa lagi wanita warga Indonesia dan seorang wanita Melayu yang dikatakan ketua pengasuh di pusat asuhan itu.

Ketika itu jam 6 petang dan tentunya kebanyakan kanak-kanak sudah pulang. Hanya yang tinggal beberapa kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia dalam lingkungan empat bulan berada dalam jagaan amah terbabit.

Wanita Indonesia berusia 45 tahun itu yang memperkenalkan diri sebagai Nur ketika memulakan bicara mendakwa dia berhenti bekerja daripada majikan lama kerana tidak tahan berulang-alik dari Kuantan ke Bangi untuk bertemu kakaknya, yang juga pengasuh TASKA berkenaan.

"Cuti sebulan sekali, iaitu pada Ahad. Saya berulang-alik ke sini, sejak bekerja empat tahun lalu. Saya sudah penat dan mahu lebih dekat dengan kakak apabila mendapat cuti daripada majikan," katanya.


WARTAWAN sedang berbincang dengan Nur (gambar kecil) berhubung kos pengambilan amah, di hadapan sebuah TASKA di Bangi. - Foto Ghazali Kori

Perbincangan mengenai gaji, cuti dan kos adalah antara inti pati perbincangan hampir sejam di antara wartawan dan wanita Indonesia terbabit.

"Gaji saya sebelum ini RM800 dan saya mahukan jumlah yang sama. Jika mahu gajikan saya, syaratnya saya hanya boleh bekerja hingga jam 10 malam. Bayar saja RM1,500 kepada kakak saya di sini. Hari ini juga saya boleh mula kerja," katanya.

Rupa-rupanya, kakaknya adalah pekerja di TASKA itu sedangkan pada pengamatan wartawan, mereka tidak ada iras adik beradik dan usia sama.

Ketika meninjau di sekitar TASKA, jelas ia bukan TASKA murahan dan berada dalam kawasan padat penduduk.

Pada sebelah malam, Nur menghubungi wartawan bagi mendapatkan keputusan namun selepas memberi alasan sudah berjumpa amah lain yang lebih murah, perbualan kami terus diputuskan.

Berita Harian X