Sabtu, 5 September 2015 | 4:13pm

IPG disalurkan jika harga getah cecah paras pengaktifan - Uggah


MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengukur dan memeriksa batang pokok getah bergred tinggi yang dapat menghasilkan susu getah berkualiti pada lawatan ke projek Tanam Baru Getah Berkelompok (RBP) seluas 122 hektar melibatkan nilai projek lebih RM1.5 Juta sempena mesyuarat Jawatankuasa PEMANDU NKEA Sawit dan Getah yang ke-45, di Kampung Stabut, Siburan 60 km dari Kuching, Khamis lalu. - Foto BERNAMA

DALAT: Insentif Pengeluaran Getah (IPG) akan diberi kepada pekebun-pekebun kecil jika harga getah SMR 20 FOB mencecah paras harga pengaktifan insentif itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata harga getah SMR 20 FOB belum jatuh di bawah paras RM4.60, iaitu paras harga pengaktifan IPG sebelum ini.

"Kita boleh memberi IPG kepada pekebun-pekebun kecil getah tetapi sehingga kini, harga getah SMR 20 belum jatuh di bawah paras RM4.60," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Balau Dalat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas permintaan Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia yang meminta IPG dibayar secara tunggakan sejak Januari lepas berikutan harga getah jatuh serendah RM4.90 selama enam bulan.

Kerajaan bersetuju meningkatkan paras harga pengaktifan IPG daripada RM4.60 sekilogram kepada RM5.10 sekilogram berkuat kuasa 1 September lalu selepas Kabinet meluluskan semakan tersebut pada 26 Ogos lepas.

Insentif untuk getah buku turut dinaikkan kepada RM2.00 sekilogram.

Ditanya mengenai biodiesel B10 yang dijadual dilancarkan pada bulan depan, Uggah berkata ia ditangguhkan sehingga Kabinet membuat keputusan mengenainya.

"Kami sedang menyediakan kertas Kabinet mengenainya dan ia bergantung kepada keputusan Kabinet (untuk pelaksanaan penggunaan B10)," katanya.

Beliau berkata, lawatan dua menteri Indonesia baru-baru ini telah membincangkan untuk meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dalam industri kelapa sawit.

Katanya, kedua-dua negara mengeluarkan 85 peratus minyak kelapa sawit dan kerajaan perlu memastikan penggunaannya dapat ditingkatkan di peringkat domestik.

"Bagi meningkatkan penggunaan minyak kelapa sawit di peringkat domestik, Perdana Menteri mahu kita melaksanakan penggunaan B10 ini," katanya.

Indonesia pada masa ini telah melaksanakan penggunaan biodiesel B15.

- BERNAMA

Berita Harian X